klik atas nuffnang

Sunday, February 13, 2011

Perokok Tegar Makin Ramai

ROKOK masih dikepit di bibir. Asapnya dihembus ke segenap ruang dan lebih teruk, dibawa angin. Tak pasal-pasal orang di sekeliling yang tidak merokok, malah yang alah, turut terkena tempiasnya.
Hingga ke hari ini peratusan perokok tegar di Malaysia semakin meningkat, bahkan berada di tahap membimbangkan.

Biarpun pelbagai kempen dijalankan, termasuk memaparkan grafik ngeri pada kotak rokok dan penghasilan iklan yang sarat dengan natijah merokok, semua itu dipandang sebelah mata oleh perokok tegar. Cakaplah apa saja mengenai bahaya merokok. Namun bagi perokok tegar, rokoklah teman sejati.
Wanita juga tidak terkecuali menjadi perokok tegar dengan alasan mahu mengekalkan bentuk badan supaya kekal langsing, sedangkan ia tidak benar, kata Penasihat Kesihatan Pekerjaan Berdaftar, Dr A.M Taufik Ghazali.



“Tiada kajian mengatakan seseorang wanita akan kekal langsing jika merokok. Itu hanya mitos, cuba lihat di sekeliling anda, berapa ramai perokok yang gemuk. Memang rokok boleh mengurangkan selera makan sekali gus membuatkan berat badan susut tetapi realitinya, ramai perokok tegar juga gemuk.

“Apabila anda berhenti merokok, fungsi badan akan bertambah baik, termasuk deria rasa. Ini menyebabkan anda berselera makan dan kebanyakan orang yang berhenti merokok mengalami pertambahan berat badan dua hingga tiga kilogram; tetapi ia hanya sementara.

“Untuk kekal langsing, langkah terbaik ialah bersenam dan mengambil makanan seimbang dengan mengurangkan makanan berlemak, berminyak dan makanan segera,” katanya dalam Program Ke Arah Gaya Hidup Sihat anjuran The New Straits Times Press (NSTP), baru-baru ini.

Asap rokok mengandungi lebih 4,000 bahan kimia berbahaya dan setiap kali merokok, anda bukan saja tidak menghargai paru-paru serta kesihatan badan secara menyeluruh tetapi anda juga sebenarnya ‘meracun’ pasangan dan anak yang menjadi perokok sekunder (kerana menghidu asap rokok).

Rokok punca penyakit paling utama yang boleh dielak. Berdasarkan laporan Pusat Kawalan Penyakit (CDC), di Amerika Syarikat saja penyakit berkaitan rokok membunuh kira-kira 178,000 wanita setiap tahun. Secara purata, wanita berkenaan meninggal 14.5 tahun lebih awal kerana rokok.

Dianggarkan hembusan asap perokok menyebabkan kira-kira 3,400 kematian akibat barah paru-paru dan 22,700 hingga 69,600 kes kematian penyakit jantung setiap tahun dalam kalangan orang dewasa yang tidak merokok di Amerika Syarikat.

Menurut Taufik, wanita hamil dinasihatkan menjauhi rokok atau perokok kerana ia boleh mengakibatkan kelahiran bayi tidak cukup bulan dan pelbagai masalah lain.

Rata-rata perokok wanita boleh berhenti merokok selama sembilan bulan apabila mengandung dan semua ini dilakukan demi anak. Ini menunjukkan jika ada tekad dan keazaman kuat untuk menjaga kesihatan diri dan keluarga, mereka boleh berhenti merokok.

Malangnya, kebanyakan perokok wanita kembali meracun diri dengan asap rokok selepas bersalin. Mungkin mereka tidak tahu racun daripada asap rokok sebenarnya memasuki susu badan yang mereka berikan kepada bayi. Jadi, setiap kali mereka memberi bayi susu badan, mereka turut memberinya racun yang meningkatkan risiko Sindrom Kematian Bayi Mengejut (SIDS).

Kajian menunjukkan bayi yang mempunyai ibu bapa perokok lebih kerap sakit dan mendapat bronkitis atau pneumonia. Paru-paru bayi lebih kecil berbanding bayi yang dibesarkan dalam persekitaran bebas asap rokok.

Kanak-kanak ini juga lebih mudah mendapat asma dan seterusnya asap rokok akan menjadikan asma mereka semakin teruk dan lebih sukar dikawal.

Perokok wanita berdepan penyakit sama dengan perokok lelaki, tetapi kajian menunjukkan perokok wanita lebih mudah mendapat penyakit berkenaan.

Maknanya tempoh mereka merokok lebih pendek untuk mendapat penyakit berbanding perokok lelaki. Malah tahap penyakit akibat rokok atau berkaitan rokok juga lebih teruk pada wanita.

Bagi yang merokok kerana mahu kelihatan bergaya dan nampak lebih matang, anda perlu mencari alasan lain kerana individu tidak merokok sebenarnya lebih hebat dan menarik.

Individu tidak merokok sebenarnya ada keyakinan dan jati diri lebih tinggi kerana tidak perlu bergantung kepada rokok bagi menyembunyikan kekurangan diri.

Sebenarnya perokok tahu dan sedar keburukan yang diperoleh daripada tabiat itu tetapi ketagihan merokok sukar dihentikan.

Dianggarkan kini lebih 4.6 juta perokok di negara ini ada keinginan meninggalkan tabiat buruk itu tetapi hasrat itu sentiasa ditangguh akibat kurang keyakinan.

“Ada banyak produk untuk membantu usaha berhenti merokok sama ada berbentuk sirap, kapsul atau tampalan. Kejayaan berhenti merokok bergantung kepada banyak faktor tetapi paling penting, azam tinggi untuk terus meninggalkan rokok,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

klik tengah nuffnang

Di Taja Oleh