klik atas nuffnang

Wednesday, March 2, 2011

P&G guna 'plastik' kitar semula diperbuat dari tebu

KEMPEN menyelamatkan bumi daripada segala bentuk pencemaran semakin mendapat perhatian termasuk dari syarikat-syarikat gergasi dunia.
 Terbaru syarikat produk kecantikan dan keperluan rumah, Procter and Gamble (P&G) mengumumkan rancangan untuk menggunakan bahan pembungkusan berunsur plastik yang diperbuat daripada tebu dan boleh dikitar semula.

Pembungkusan berunsur plastik tersebut akan diaplikasikan pada produk kecantikan terpilih keluaran syarikat antarabangsa itu termasuk Pantene Pro-V, COVERGIRL dan Max Factor.

Bahan plastik daripada tebu merupakan satu inovasi alam sekitar yang terpenting kerana ia dibuat dari sumber yang boleh dikitar semula, tidak seperti plastik tradisional yang dibuat dari bahan berunsur petroleum yang tidak boleh dikitar semula.

Bahan terbaru ini diperbuat melalui satu proses inovatif yang menukarkan tebu kepada plastik polyethylene yang berketumpatan tinggi (HDPE), sejenis produk yang lazimnya digunakan untuk pembungkusan.

Bahan ini mampu dikitar semula 100 peratus di kemudahan kitar semula sedia ada.

"Komitmen untuk menggunakan bahan plastik kitar semula di dalam pembungkusan produk kecantikan syarikat kami merupakan tanggungjawab P&G di dalam memenuhi permintaan terhadap bahan yang mesra alam yang semakin meningkat," kata Jenny Rushmore, selaku Beauty & Grooming Global Sustainability Leader P&G.

Beliau menambah, usaha P&G ini tidak akan menjejaskan nilai, estetik dan kualiti produknya.

Katanya, matlamat P&G ialah untuk menyediakan produk yang mesra alam tanpa sebarang kompromi.

"Kami akan meneruskan usaha kami untuk mencari peluang bagi meningkatkan kualiti hidup pelanggan kami di seluruh dunia di samping mengekalkan keperluan produk mereka dan integriti ," ujar beliau.

P&G akan mencari sumber plastik dari tebu daripada Braskem SA, yang mengeluarkan bahan tersebut menggunakan etanol yang berasal dari tebu yang ditanam di Brazil.

"Ciptaan mesra alam ini hasil daripada permintaan pengguna. Kami telah menemuramah beribu-ribu wanita di seluruh dunia dan mereka mahukan perubahan.

"Mereka mahu menjadi lebih cantik dengan produk kegemaran mereka tetapi pada masa yang sama tidak mahu alam sekitar terjejas," kata Rushmore.

P&G seringkali berkolaborasi dengan pihak luar untuk menghasilkan satu penyelesaian saintifik yang mampu bertahan lama.

Syarikat ini juga menggunakan khidmat pemikir-pemikir seperti organisasi Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF) untuk memberi perhatian kepada topik penting yang memberi impak kepada manusia dan alam sekitar.

"Keputusan ini merupakan satu pencapaian terbaik kerana ia mendekatkan kami kepada visi kami untuk memastikan semua produk kami tidak menjadi bahan buangan yang hanya memenuhkan tapak pembuangan sampah," katanya semasa acara tahunan P&G Beauty & Grooming yang diadakan di Beijing, China, baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

klik tengah nuffnang