klik atas nuffnang

Monday, May 9, 2011

Pendarahan Luka Dalam Perut (Kanser Perut)

Tanda-tanda penyakit kanser perut
AMALAN pemakanan yang seimbang dan sihat penting dalam menentukan tahap kesihatan seseorang. Ketidakseimbangan pemakanan boleh menyebabkan timbulnya pelbagai gejala penyakit pada tubuh.
Bagi kebanyakan penyakit tertentu, amalan pemakanan seseorang mempunyai kaitan rapat dengan penyakit yang dihidapi.

Demikian menurut Pakar Perubatan Gastroenterologi, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Aminuddin Ahmad.

Katanya seperti penyakit-penyakit kanser lain, punca kanser perut masih belum dapat dikenal pasti.

Bagaimanapun, katanya kemungkinan sejenis bahan kimia yang dikenali sebagai N-nitrosa (N-Nitrosa compound) yang terhasil daripada makanan yang mengandungi nitrat yang diubah menjadi nitrit mungkin boleh menyebabkan kanser perut berlaku.
 


Terdapat andaian mengatakan makanan seperti acar, daging, ikan yang diasap atau mengandungi banyak garam seperti ikan atau daging masin memudahkan proses karsinogenesis iaitu pencetus kejadian kanser perut dan pembiakan sel tanpa kawalan pada perut, jelasnya.

Selain itu, faktor baka dan individu yang dikategori dalam kumpulan darah jenis A, berisiko tinggi mendapat kanser perut anemia pernisiosa iaitu kelainan pada sel-sel perut yang bersifat autoimun boleh meningkatkan risiko kejadian kanser.

Aminuddin memberitahu, kanser ini secara umumnya berlaku ketika usia yang lanjut.

Lebih 60 peratus kes-kes kanser yang ditemui pada pesakit yang berumur 65 tahun ke atas biasanya terdiri daripada golongan lelaki, ujarnya.

Tambahnya, negara Jepun dan Finland adalah antara negara yang mempunyai kadar pesakit kanser perut yang tertinggi di dunia. Sebaliknya, Amerika Syarikat menunjukkan bilangan kanser perut semakin menurun tanpa sebab yang jelas.

Kajian yang dijalankan oleh UKM dari 1983 hingga 1989 mendapati, kanser perut ini berlaku lebih kerap di kalangan lelaki iaitu 64.9 peratus berbanding wanita iaitu 35.1 peratus.

"Peratusan di kalangan bangsa pula menunjukkan, Cina mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 68.0 peratus, India 16.5 peratus dan Melayu 15.5 peratus," jelasnya.

Beliau memberitahu, kelambatan diagnosis kanser perut merupakan masalah utama yang dihadapi oleh pakar perubatan dalam menangani kes kanser di Malaysia.

Ini disebabkan gejala kanser perut hanya timbul setelah ketumbuhan tersebut di tahap yang kronik dan terlalu lewat. Umumnya, pesakit tidak akan menimbulkan apa-apa aduan di mana keadaan ini menyukarkan doktor menentukan jenis penyakit yang dihidapi.

"Kadangkala, gejala yang dihidapi oleh pesakit kanser perut mempunyai persamaan dengan pesakit yang menghidap gastritis atau ulser perut," katanya.

Kebanyakan pesakit ulser perut yang datang berjumpa doktor mengadu sakit pada bahagian ulu hati.

Oleh itu, mereka dirawat sebagai pesakit ulser atau gastrik tanpa pemeriksaan lanjut seperti X-ray atau endoskopi.

Biasanya, kata beliau hingga kini dari segi rawatan kanser perut masih belum menunjukkan satu peningkatan kerana hasilnya ditahap yang kurang baik.

"Selama empat abad, jumlah kematian dan ketahanan hidup selama lima tahun, masih belum menunjukkan peningkatan kadar penyembuhannya," ujar beliau.

Ini disebabkan, ketumbuhan penyakit ini berlaku secara senyap dan kronik serta lewat dikesan maka prognosisnya bergantung pada tahap pertumbuhan kanser tersebut.

Bagaimanapun, kanser perut yang dikesan di peringkat awal (early gastric cancer) berpotensi untuk sembuh berbanding kanser perut peringkat lewat.

Antara ketumbuhan ganas yang paling banyak ditemui ialah dari jenis sel-sel rembesan (secreation) perut (adenokarsinoma) sel-sel limpa (limfoma) dan sel-sel serat (leiomiosarkoma).

Kanser perut ini berbahaya kerana ia boleh merebak tanpa kawalan dan mengakibatkan saluran makanan ke perut tersumbat.

Ia mengakibatkan terhalangnya pengaliran makanan ke usus dan menyukarkan laluan makanan yang masuk ke perut.


JENIS KANSER PERUT
Semua kanser perut dikategorikan kepada empat jenis dari aspek bentuk ketumbuhannya iaitu :

* Polypoid carcinoma

* Fungating carcinoma

* Ulcerated carcinoma

* Diffusely infiltrative carcinoma

Keempat-empat jenis kanser ini berbeza dari aspek peringkat, jenis dan bentuk ketumbuhan.


GEJALA KANSER PERUT
Gejala kanser perut bergantung kepada tahap keseriusan kanser yang dihidapi, sama ada kanser perut peringkat awal atau kanser peringkat lanjut.

* Kanser perut peringkat awal

Kanser perut pada peringkat ini adalah kanser yang masih belum merebak hingga ke lapisan otot (muskularis propia) di mana ia hanya berlaku pada permukaan perut (mukosa) atau submukosa * Kanser perut peringkat lanjut

Manakala kanser yang dikategorikan jenis ini, apabila ia telah menembusi lapisan otot atau telah tersebar pada lain-lain anggota tubuh yang berhampiran atau yang jauh.

Gejala klinikal yang paling kerap berlaku ialah :

* Sakit pada abdomen (70.1 peratus)

* Kemerosotan berat badan ( 59.8 peratus)

* Muntah (16.5 peratus)

* Asites (busung) (13.4 peratus)

Keadaan ini disertai dengan tanda-tanda fizikal termasuklah :

* Ketulan pada ulu hati epigestrium (16.5 peratus)

* Asites (busung) 13.4 peratus

* Anemia (kurang darah) 7.2 peratus

Kebanyakan pesakit mengadu mengalami rasa :

* Nyeri pada bahagian ulu hati yang tidak menentu.

* Ketidakselesaan.

* Bisa-bisa pada perut yang timbul dan hilang.

* Hilang selera makan atau aneroksia dan disertai loya.

* Penurunan berat badan.

Gejala ini berkaitan lokasi dan bentuk ketumbuhan yang dihidapi oleh seseorang. Pesakit yang mempunyai ketumbuhan polypoid pada bahagian atas perut (kardia) akan mengalami masalah disfagia atau susah menelan.

Begitu juga pesakit yang mempunyai ketumbuhan yang sama pada bahagian antrum pilorik mengakibatkan pesakit muntah kerana berlakunya penyumbatan pada saluran pemakan pilorus.

Manakala kanser yang berlaku pada keseluruhan dinding perut linitis plastika, mereka akan terasa cepat kenyang dan perut penuh apabila diisi sedikit makanan.

Keadaan ini disebabkan keseluruhan perut mengecil.

Jika berlaku luka (ulserasi) pada ketumbuhan tersebut, selain rasa nyeri kesan sampingan lain yang timbul ialah muntah darah (hematemasis) atau najis yang mengandungi darah (melena) Luka yang serius mengakibatkan kebocoran pada perut.

Di samping itu, tanda-tanda lain yang timbul akibat penyebaran sel-sel kanser pada organ-organ lain (metastasis) mengakibatkan perut: * Membesar kerana busung (asites)

* Mata menjadi kuning (jaundis) kerana berlakunya penyumbatan saluran hempedu

* Nyeri tulang

* Gejala urat saraf yang disebabkan penyebaran ke otak dan selaput otak (meningitis)

* Batuk dan sesak nafas kerana sel-sel kanser merebak ke paru-paru.

* Terdapat benjolan pada ulu hati di mana pesakit kelihatan pucat, biasanya pesakit ini berada di tahap yang serius.

Akibat kehilangan darah yang terlalu banyak, pesakit menjadi pucat kerana kekurangan zat besi.


RAWATAN

Pembedahan merupakan rawatan terbaik untuk pesakit yang dikesan menghidap kanser peringkat awal.

Bagaimanapun, pembedahan ini hanya jika keadaan pesakit pada tahap yang lewat dan tidak dapat disembuhkan dengan sempurna. Pesakit di peringkat lewat pula dirawat dengan kemoterapi dan menggunakan 5-Flourouracil atau kombinasi doxorubcin dan mitomycin.

Ini kerana, pesakit kanser perut di peringkat lewat, rawatan pembedahan tidak memberi sebarang kebaikan kerana sel-sel kanser telah merebak di seluruh tubuh.


KOMPLIKASI

Secara keseluruhannya pesakit akan mengalami :

* Perdarahan / luka dalam perut

* Muntah darah

* Berak darah

* Tersumbat kawasan perut

* Kebocoran perut

* Anemia (kurang darah)

* Kurang berat badan

* Selepas pembedahan

* Bahagian perut yang telah dibuang mengakibatkan cirit-birit kerana kurang penghadaman makanan

* Kurangnya zat makanan


PENCEGAHAN
Sebagai langkah awal untuk mengesan kanser perut ialah memastikan semua jenis kesakitan pada ulu hati atau perut mendapat penyelidikan yang rapi. Ini penting terutama pada pesakit yang berumur melebihi 40 tahun.

Mereka yang mempunyai sejarah muntah darah dan najis berdarah haruslah menjalani endoskopi untuk memastikan punca perdarahan tersebut.

Hanya dengan mengambil berat mengenai gejala klinikal doktor dapat mengesan penyakit ini lebih awal. 



p/s : Jagalah pemakanan kita... Yang pastinya ..Halalan Toyyiban


Saranan Keluarga Avail : Green Fit / Pro - Polis / i - food



'PREVENTION IS BETTER THAN CURE'

2 comments:

  1. nak tau makanan untuk pesakit kanser perut

    ReplyDelete
  2. Antara Ulaman Penyembuh Kanser
    1. Daun Pegaga
    2. Daun Selom
    3. Daun Ulam Raja

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

klik tengah nuffnang