klik atas nuffnang

Sunday, May 22, 2011

Petua Mengekal Kesihatan Kuku

RAMAI yang mengabaikan penjagaan kuku secara tidak sengaja kerana ia sebahagian kecil daripada tubuh badan kita. Pengabaian kuku sama ada dari sudut luaran atau dalaman dapat dilihat di permukaannya.

Dengan mewarnakan kuku, kekurangan kuku dapat disembunyikan tetapi jika dibiarkan berterusan, kerosakan pada permukaan kuku agak sukar dirawat atau kembali sihat dengan cepat.

Kuku yang rapuh berpunca daripada kekerapan bersabun. Berada di dalam ruang berhawa dingin dalam tempoh masa yang panjang juga boleh menjejaskan kesihatan kuku. Kuku boleh dilindungi dengan menyapukan losyen secara kerap.

Kuku perlu dibersihkan daripada bahan pewarna sebelum rawatan kuku dimulakan. Pastikan, pembersih itu mempunyai fungsi melembab. Kemudian rendamkan jari-jemari di dalam air suam yang dicampur dengan perahan limau nipis selama lima minit untuk melembutkan kuku.

Selepas merendam, skrab jari-jemari untuk menghilangkan kotoran sebelum dibasuh semula dengan air suam.

Selepas dikeringkan, sapukan losyen pada kuku dan jari-jemari dan oleskan pelembut kutikel di tepi kuku.

Selepas itu barulah kuku dan kutikel dirapikan serta permukaan kuku dikilatkan agar kelihatan berkilat.

Untuk memiliki kuku yang sihat, kepanjangan kuku perlu diambil kira. Kuku yang terlalu panjang akan memudahkan kotoran memasukinya manakala kuku yang terlalu pendek pula akan menyebabkan kecederaan.

Pilih pemotong kuku yang tajam untuk kemasan. Jangan rosakkan kuku dengan menggigitnya. Selain kuku mudah rosak, kotoran pada kuku juga akan masuk ke dalam mulut ketika makan.

Pewarna kuku
Amalan minum banyak air suam adalah salah satu tip untuk menyerikan kuku dari dalam. Ia dapat membantu melembabkan kuku, manakala untuk menguatkan kuku, makan makanan yang mengandungi kalsium seperti susu.

Memakai pewarna kuku membuatkan kuku kelihatan cantik, tetapi sekiranya pewarna kuku dipakai terlalu lama, warna asal kuku boleh berubah kekuningan. Bahkan, kuku yang berkilat menjadi kering.

Bagi mengelakkan perkara ini, pewarna kuku tidak boleh dipakai selalu. Kuku yang sihat adalah kuku yang bebas daripada sebarang pewarna kuku. Ketika menanggalkan pewarna kuku, gunakan kapas dan jangan menggosok kuku sebaliknya usapkan sahaja.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

klik tengah nuffnang