klik atas nuffnang

Sunday, May 22, 2011

Vitamin E untuk Jantung

Soalan:  
Saya mempunyai tekanan darah tinggi dan kolesterol. Selain mengambil ubat, saya disyorkan mengambil vitamin setiap hari untuk manfaat tambahan. Sebelum ini saya tahu vitamin E baik untuk kulit. Adakah Vitamin E mempunyai kelas yang berbeza?

Jawapan: 
Vitamin E merupakan salah satu vitamin yang penting untuk kesihatan. Vitamin E bukanlah nutrien tunggal, tetapi merujuk kepada keseluruhan keluarga yang mengandungi lapan kompaun yang larut lemak. Vitamin E terbahagi kepada 2 sub-kumpulan, iaitu tokoferol dan tokotrienol. Setiap satu daripadanya mengandungi 4 ahli, iaitu Alfa, Beta, Gama dan Delta.

Melalui makanan Vitamin E boleh diperolehi daripada minyak sayuran, bijian, kekacang, sayuran berdaun hijau, dan sesetengah makanan berasaskan bijirin yang diperkuat atau ditambah dalam formulasinya. Berbeza dengan vitamin E tokoferol yang lebih mudah diperolehi daripada pengambilan makanan harian, vitamin E tokotrienol lebih sukar kerana ia hanya hadir dalam kuantiti yang lebih kecil dalam makanan tertentu sahaja.

Cadangan pengambilannya sebagai suplemen tambahan kepada masalah kesihatan terutamanya jantung ada asasnya. Kajian di Amerika Syarikat, Eropah, Jepun, Kanada, malah di Malaysia sendiri menunjukkan pengambilan vitamin E tokotrienol secara konsisten bermanfaat untuk beberapa masalah kesihatan.

Kajian yang dibuat sama ada ke atas manusia mahupun haiwan memperlihatkan vitamin tokotrienol memberi manfaat kepada penyakit kardiovaskular dengan mencegah pengoksidaan kolesterol berbahaya, iaitu kolesterol LDL yang menjadi punca utama penyumbatan arteri.

Penyelidikan yang dibuat di Kenneth L. Jordan Heart and Research Foundation centre, Amerika Syarikat mengesahkan pengambilan Tokotrienol harian sebanyak 240 miligram menunjukkan ia berkeupayaan membaikpulih penyumbatan arteri. Selain itu, vitamin E tokotrienol juga mempunyai kemampuan untuk merendahkan paras kolesterol dengan merencatkan atau pengawalan aktiviti enzim HMG CoA reduktase yang menyamai kesan tindakan ubat anti hiperlipidemia.

Manfaat hebat yang tentunya sangat dihargai adalah kesan positifnya ke atas kanser payudara. Hasil penyelidikan menunjukkan vitamin tokotrienol berkebolehan merencatkan sel-sel tumor kanser payudara. Sebaliknya, tokoferol tidak memperlihatkan kesan yang signifikan. Berbanding tokoferol, tokotrienol didapati memberi kesan sinergistik dengan ubat anti estrogen yang digunakan dalam pengurusan kanser payu dara.

Pada tahun 2007, kajian telah dibuat di mana paras tokoferol dan tokotrienol diukur dalam sel-sel payu dara di kalangan rakyat Malaysia yang diet mereka mengandungi minyak kelapa sawit. Hasilnya mendapati paras tokoferol adalah sama dalam kedua-dua sel payu dara yang bersifat benigna (tumor yang tidak berbahaya) dan juga malignan (tumor berbahaya). Walau bagaimanapun, konsentrasi tokotrienol adalah lebih tinggi dalam tisu-tisu lemak di kalangan wanita yang menga-lami benigna. Ini menyokong kenyataan bahawa tokotrienol memberi manfaat perlindungan daripada kanser payu dara.

Secara perbandingannya, vitamin E tokotrienol terbukti 40 hingga 60 kali lebih poten sebagai anti oksida berbanding tokoferol. Aktiviti anti oksida vitamin E adalah meluas. Ia memberi kesan perlindungan yang terlibat dalam mencegah pengoksidaan lipid dalam tisu-tisu dan sel. Aktiviti khusus pula termasuklah meneutralkan radikal bebas dan memperbaiki kerosakan sel, terutamanya membran-membran sel. Vitamin E seringkali dicadangkan untuk pelbagai masalah degeneratif seperti penyakit kardiovaskular, kanser dan katarak.Ia juga penting untuk kesihatan kulit dan rambut.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

klik tengah nuffnang