klik atas nuffnang

Friday, November 18, 2011

Bulan cegah jangkitan kuman

KETIKA seluruh dunia dilanda kebimbangan kemunculan pelbagai wabak penyakit berjangkit, banyak pihak mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengambil pelbagai langkah untuk mengelak jangkitan.

Malah penyakit berjangkit kini menjadi masalah global yang sangat membimbangkan.

Menyedari akan kepentingan penjagaan kesihatan, Persatuan Penyakit Berjangkit dan Kimoterapi Malaysia (MSIDC) dan syarikat Clorox (Clorox) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan baru-baru ini melancarkan Bulan Mencegah Jangkitan Malaysia (IPMM).

Ia bertujuan meningkatkan kesedaran serta membantu rakyat Malaysia untuk mencegah penyebaran kuman penyebab penyakit.



Kempen yang berlangsung selama sebulan sepanjang Oktober pada setiap tahun itu mengetengahkan pendekatan holistik dalam pencegahan jangkitan.

Kempen dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dan hadir sama Presiden MSIDC, Prof. Dr. Yasmin Abdul Malik.

Menurut Yasmin, kempen tersebut, memberi penekanan kepada isu kebersihan persekitaran dan pembasmian kuman pada permukaan.

"Walaupun ramai yang sedar akan kedua-dua isu ini, ramai yang masih kurang mengambil berat tentang aspek tersebut. Kelalaian tersebut sering menjadi penyebab jangkitan,'' ujarnya ketika berucap pada majlis tersebut.

Katanya lagi, memang terdapat banyak pelbagai jenis vaksin dan ubatan untuk membantu mencegah jangkitan, namun tip-tip pencegahan yang mudah seperti sanitasi dan penjagaan kebersihan perlu juga diberikan keutamaan.

"Perkara ini perlu diberi keutamaan, lebih-lebih lagi ia merupakan asas dalam pencegahan dan mengawal penyebaran jangkitan,'' ujarnya.

Selaras dengan itu, IPMM mengesyorkan pembasmian kuman lebih diberikan perhatian di tempat-tempat yang mudah disentuh termasuklah permukaan meja, tombol pintu, pemegang flush tandas, barangan mainan dan sebagainya.

"Perkara itu perlu diberikan perhatian memandangkan penyakit berjangkit lebih berbahaya daripada penyakit lain serta boleh mengancam keseluruhan komuniti,'' ujarnya.

Sempena kempen tersebut, sebanyak sejuta risalah pendidikan telah diedarkan di tempat-tempat terpilih di seluruh negara bagi memaklumkan kepentingan penjagaan kesihatan diri.
Selain itu, IPMM juga turut mengadakan pameran bergerak ke seluruh negara termasuk di sekolah-sekolah, pasar raya, balai raya dan sebagainya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

klik tengah nuffnang