klik atas nuffnang

Saturday, November 26, 2011

Jangan Makan Lewat Malam

Budaya makan lewat malam sudah menjadi satu perkara biasa bagi mereka yang bergelar warga kota.

Roti canai, mi goreng mamak, makanan segera dan teh tarik adalah menu popular bagi mereka yang selalu mengunjungi premis-premis restoran atau gerai yang dibuka 24 jan setiap hari.

Kadang kala ia menjadi satu aktiviti wajib kepada sesetengah warga kota untuk menjamah selera pada waktu lewat tengah malam ataupun di awal pagi.

Mungkin ramai di antara mereka tidak sedar risiko kesihatan jangka panjang yang mereka boleh hadapi secara beransur-ansur akibat pembawaan budaya ini.

Bagi Pakar Kecergasan, Kevin Zahri, gaya hidup orang Malaysia yang suka makan di lewat malam sukar diubah tetapi boleh diseimbangkan dengan cara hidup yang betul.

"Sekiranya mereka melakukan aktiviti berat seperti bersukan tiada salahnya mengambil makanan berlebihan di waktu malam," katanya.

Bagaimanapun, ia menjadi masalah yang besar kepada individu yang tidak melakukan apa-apa aktiviti di waktu malam kerana ia akan terdedah kepada masalah kegemukan.

"Kebanyakan menu popular yang di kalangan warga kota seperti roti canai dan nasi tidak sesuai dimakan waktu malam kerana ia membekalkan protein dan karbohidrat yang terlalu tinggi," katanya.

Katanya, protein dan karbohidrat adalah nutrien yang amat diperlukan oleh badan tetapi sekiranya berlebihan ia menjadi punca penyakit yang berkait dengan kolestrol.

Ditambah pula kadar metabolisme yang rendah pada badan di waktu malam, kalori yanga tidak digunakan akan bertukar menjadi lemak dalam badan.

Beliau menambah makanan barat seperti burger dan hot dog turut tidak baik kepada kesihatan kerana mengandungi lemak yang tinggi.

Menurut Presiden Pemakanan Malaysia, Dr. Tee Ee Siong, risiko obesiti menjadi ancaman utama kepada penggemar makan lewat malam selain penyakit jantung dan diabetes.

"Sekiranya makan lewat malam dari pukul 8 malam ke atas, kemungkinan badan kita gagal membakar kalori yang diproses daripada makanan yang dicernakan," katanya.

Ini adalah kerana pergerakan aktiviti malam yang terhad dan bertambah teruk sekiranya tidur terus selepas makan kerana lemak yang tidak dibakar kepada bentuk tenaga akan terkumpul di dalam badan.

"Lama-kelamaan ia akan menjadi masalah perut buncit dan gemuk sebelum ia berubah menjadi kepada obesiti untuk tahap yang lebih serius," katanya.

Dia menasihatkan pengambilan makanan yang terbaik ialah makan banyak di waktu pagi kerana badan kita memerlukan lebih banyak tenaga dalam memulakan aktiviti seharian.

"Makan malan kita disyorkan hanya mengambil sedikit makanan seperti roti sandwich dan sup kerana di waktu malam tubuh kita terhad melakukan aktiviti," katanya.

Dia berharap mentaliti rakyat Malaysia dapat diubah sejajar dengan saranan banyak pakar kesihatan iaitu 'mencegah lebih baik daripada merawati'.

Kenyataan itu diakui Pensyarah Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Professor Dr.Fatimah Arshad bahawa budaya makan lewat malam lebih banyak memberi keburukan berbanding kebaikan.

"Makanan yang disediakan oleh kebanyakan premis waktu operasinya 24 jam selalunya mempunyai minyak yang tinggi, berlemak dam boleh meningkatkan tahap kolestrol dalam badan," katanya semasa dihubungi.

"Malahan menu-menu yang disediakan ada di antaranya tidak terjaga kebersihannya dan boleh mengakibatkan masalah kesihatan lain seperti keracunan makanan," katanya.

Dia juga menasihatkan pemakanan yang bijak adalah mengikut keperluan bukannya mengikut nafsu semata-mata.

"Kebanyakan rakyat kita kurang mementingkan pengambilan nutrien yang seimbang tetapi mementingkan lebih kepada citarasa dan kesedapan sesuatu makanan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

klik tengah nuffnang