klik atas nuffnang

Thursday, July 12, 2012

Kelebihan Solat : Rendahkan Kolesterol

IBADAT solat mempunyai pengertian yang sangat luas cakupannya. Solat dikatakan boleh memberikan ketenangan dan menjadi senaman terbaik khususnya kepada umat Islam yang mengamalkannya lima kali sehari seperti yang dituntut syarak.

Lebih penting, solat adalah satu medium komunikasi antara manusia sebagai makhluk dengan penciptanya iaitu Allah S.W.T. Amalan harian ini mempunyai 1001 hikmah jika dikaji dari aspek rohani dan juga jasmani.

Menurut Pengarah Pusat Penyelidikan Informatik Perubatan dan Sistem Mikro-Elektro-Mekanikal (MIMEMS) di Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya (UM) Prof. Ir. Dr. Fatimah Ibrahim, ibadah solat boleh memberikan 1001 manfaat kepada pengamalnya jika dilakukan dengan tekun dan tertib.

Beliau yang mengetuai sekumpulan penyelidik yang membuat kajian tentang sains solat sejak tahun 2005 memberitahu, melalui pergerakan dalam solat, banyak fakta saintifik dapat dibongkarkan.


"Hasil kajian yang dijalankan mendapati ibadah solat ternyata boleh memberi pelbagai manfaat kepada pengamalnya.

"Selain manfaat spiritual yang sering dihuraikan dalam bahan rujukan agama, solat juga memberikan manfaat fizikal dan mental jika pengamalnya melakukan ibadah tersebut dengan postur atau gerak laku yang betul.

"Kita sering diberitahu, solat adalah tiang agama. Dari sudut sains pula, pergerakan dalam solat sangat baik untuk kesihatan.

"Dari aspek agama, solat adalah tanda kita berterima kasih kepada Allah manakala dari sudut sains, solat adalah amalan penjagaan tubuh yang sempurna.

"Sementara itu, solat juga sering disebut sebagai amalan kerohanian yang boleh mencegah kemungkaran.

"Dalam kajian kami, pergerakan dalam solat sebenarnya boleh menghadirkan gelombang fokus dan ketenangan dalam diri yang menjadi tunjang pemikiran rasional seterusnya dapat mengelakkan pengamalnya melakukan perkara di luar batasan," jelasnya ketika ditemui Jurnal baru-baru ini.

Bukan itu sahaja, Fatimah turut memberitahu, pergerakan dalam solat jika dilakukan dengan postur yang betul sudah dibuktikan mampu mencegah, merawat dan memulihkan beberapa jenis penyakit.

"Jika solat diamalkan mengikut lima cara solat Rasulullah S.A.W, Insya-Allah amalan ini boleh menyihatkan jantung, menguatkan pinggang, merawat mati pucuk bagi lelaki dan mati putih bagi wanita, meningkatkan kualiti seks dan memulihkan otot kelamin.

"Selain itu, kajian ke atas testimoni juga mendapati terapi pergerakan solat boleh menguruskan badan, mencantikkan dan menganjalkan tubuh, mengurangkan kolesterol, mengawal tekanan darah tinggi dan banyak lagi manfaat lain," jelasnya.

Sakit pinggang
Bagaimanapun, kata Fatimah, hasil tersebut hanya boleh diperoleh sekiranya pengamal solat melakukan ibadah tersebut mengikut lima cara solat Nabi Muhammad.

Lima cara tersebut ialah mengerjakan solat lima waktu sehari semalam, solat secara berjemaah, memahami bacaan dalam solat, kedudukan kaki semasa tahiyat dilakukan dengan sempurna dan kedudukan tulang belakang berada dalam keadaan mendatar 90 darjah ketika rukuk.

"Setakat ini, ada lapan kajian yang kami lakukan terhadap manfaat pergerakan solat terhadap pengamalnya.

"Antaranya ialah kajian elektroensefalogram (EEG) yang dilakukan semasa testimoni menunaikan solat terutamanya ketika tamakninah.

"Tamakninah adalah perbuatan berhenti seketika pada posisi tertentu sebelum bertukar ke posisi lain.

"Dengan menggunakan serkup kepala yang dilengkapi elektrod, eksperimen ini dilakukan untuk melihat kesan tamakninah ke atas isyarat otak.

"Daripada analisis yang dijalankan, wujud peningkatan yang nyata bagi ketumpatan kuasa spektrum (KKS) pada komponen 11 Hz di lobus parietal semasa testimoni berubah daripada posisi berdiri dan mengangkat iktidal kepada posisi sujud.

"Pergerakan tersebut telah menyebarkan spektrum untuk semua tujuh elektrod berlainan. Melalui bacaan graf tersebut, analisis EEG membuktikan perbuatan tamakninah dapat meningkatkan jalur frekuensi alpha iaitu ketenangan.
 
"Disebabkan itu, Islam sangat menuntut umatnya melakukan tamakninah ketika bersolat," kata Fatimah.

Menjelaskan lebih lanjut tentang manfaat fizikal yang diperoleh daripada lima cara Nabi Muhammad bersolat, beliau memberitahu, rukuk yang sempurna iaitu posisi membengkokkan tulang belakang 90 darjah, tangan diluruskan dengan telapak tangan ditekap kemas di tempurung lutut sangat membantu meregangkan otot di bahagian paha di samping melatih kordinasi otot-otot belakang dan kaki.

"Pergerakan rukuk yang betul dapat mencegah, merawat dan memulihkan sakit pinggang dan sakit belakang jika ia dilakukan dengan betul.

"Ketika badan mula menunduk, otot-otot lumbar yang terletak di bahagian belakang badan akan mengecut dan kemudian berehat apabila tubuh menunduk sepenuhnya.

"Ketika rukuk, refleksi spina yang berada pada sudut 90 darjah akan memastikan tulang belakang berada dalam keadaan baik kerana posisi tersebut dapat membuka ruang antara saluran spina.

"Manfaatnya, jika postur ini dilakukan dengan betul ketika bersolat lima kali sehari, ia akan mengurangkan risiko penghimpitan urat saraf sekali gus menggalakkan kefleksibilitian spina.

"Namun, jika tidak rukuk dengan sempurna, jantung akan mendapat tekanan dan jika keadaan ini berlarutan, individu tersebut boleh mendapat sakit jantung," jelasnya.

Sementara itu, tabiat membengkokkan jari kaki ketika sujud dan duduk semasa tahiyat turut membongkar fakta yang mengejutkan.

"Mereka yang membengkokkan kaki dapat mengurangkan jisim lemak badan (FM) manakala lemak tanpa jisim (LBM) seperti tisu otot dapat ditingkatkan.

"Ini menyebabkan komposisi badan bertambah seimbang kerana penurunan lemak atau kolesterol badan seterusnya dapat mengurangkan risiko pelbagai penyakit seperti penyakit jantung.

Kolesterol
"Namun, sekiranya anda bersolat tanpa membengkokkan jari, FM akan bertambah dan LBM pula berkurangan.

"Ini akan menyebabkan otot tisu mengecut dan ruang tersebut mula dipenuhi gumpalan lemak badan yang akan mengundang risiko penyakit jantung, strok dan kegemukan," ujarnya yang memberitahu pergerakan rukuk dan sujud mempunyai banyak persamaan dengan senaman fisioterapi senaman pagi dan 'quadraped'.

Menurut Fatimah yang bekerjasama menjalankan penyelidikan sains solat bersama Prof. Wan Abu Bakar Wan Abas dan Ng Siew Cheok, cara pernafasan yang betul semasa bersolat boleh mengaktifkan otot perut dan membantu mengempiskan perut.

"Caranya mudah, setiap kali rukuk dan sujud, ulang bacaan tasbih dengan kiraan minimum sebanyak tiga kali. Selang selikan bacaan tersebut dengan menarik nafas.

"Untuk mendapatkan keputusan yang ideal, anda boleh membaca tasbih sebanyak lima kali," katanya.


Ehsan Artikel dari Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

klik tengah nuffnang

Di Taja Oleh