klik atas nuffnang

Sunday, October 21, 2012

KENALI DIRI sebelum Kurus

Tiada dua individu di dunia ini yang serupa. Bukan saja gaya hidup, malah cara pembesaran dan rutin harian juga berbeza.

Sudah pasti apabila bercakap tentang cara pengurusan badan yang efektif, tentunya mesti berbeza antara satu individu dengan individu lain.

Jurulatih kesihatan, Vanessa Anne Lee, 44, berkata, setiap individu yang mempunyai berat badan berlebihan atau obes memerlukan tunjuk ajar serta cara yang betul untuk mengembalikan semula berat badan mereka ke tahap ideal.

Memaksa diri mencuba pelbagai cara menurunkan badan seperti senaman keterlaluan atau sekatan makanan secara drastik mungkin akan lebih memudaratkan kesihatan individu terbabit.

"Sebelum mengambil keputusan untuk menurunkan berat badan, mereka perlu berfikir tentang serangan jantung yang mungkin berlaku.

"Selain itu risiko badan mengalami penghidratan juga amat tinggi dan tidak kurang juga yang mengalami hiperventilation atau pernafasan yang tidak terkawal.

"Malah ada yang boleh pengsan, muntah, timbul masalah kulit, kejang, dan kesakitan pada bahagian dada akibat senaman yang tidak sesuai.


"Bagi wanita pula ada risiko untuk tekanan darah mereka menjadi rendah," jelas Vanessa yang ditemui di gimnasium miliknya, Pinnacle Fitness, di Jalan Pantai Baru, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Maka sebaik-baiknya, sebelum memulakan program menurunkan berat badan, perlunya dilakukan sedikit kaji selidik yang merangkumi pelbagai soalan tentang latar belakang diri dan gaya hidup mereka yang terlibat.

Vanessa berkata, penilaian ini dilakukan dalam masa lebih kurang sejam untuk mendapatkan pelbagai maklumat penting sebelum jurulatih kesihatan merangka cara terbaik untuk mereka mendapatkan berat badan ideal.

"Setiap program yang dirangka di Pinnacle Fitness berbeza daripada satu individu ke satu individu. Kami bukan saja mahukan turun berat badan malah kesihatan otot dan sistem kardiovaskular i lebih diutamakan. Sebab itu program spesifik dirangka untuk setiap peserta pusat kecergasan ini.

"Selain senaman, kami juga menyediakan diari pemakanan untuk diisi oleh peserta supaya kami boleh melihat dan memantau apa yang mereka makan," ujar Vanessa yang telah sembilan tahun menetap di Malaysia.

Perlu komitmen
Menurut Vanessa, program menurunkan berat badan ini memerlukan komitmen berterusan daripada peserta kerana mereka hanya dipantau jurulatih selama dua jam dan selebihnya iaitu 22 jam lagi adalah diri mereka sendiri.

"Kadangkala tidak setiap hari mereka datang ke gim ada yang datang dua kali seminggu, jadi disiplin diri amatlah penting.

"Menurunkan berat badan bukanlah satu matlamat semata-mata, sebaliknya perlu menjadi sebahagian daripada cara hidup dan mesti seimbang," jelasnya.

Kata Vanessa lagi, penurunan berat badan yang berkesan mengambil masa yang 'lebih lama' untuk' tahan lebih lama'.

Apa yang dimaksudkan wanita kelahiran Australia ini ialah penurunan berat badan yang tidak terlalu drastik akan memberikan kesan penurunan berat badan yang lebih baik berbanding yang turun mendadak.

"Menurunkan berat badan dengan mendadak mungkin juga boleh menyebabkan berat badan naik mendadak.

"Dengan ada bimbingan jurulatih, mereka akan mengajar cara mengira kalori dan protein tetapi tidaklah sampai tidak boleh makan nasi. Semuanya bergantung kepada sukatan yang dimakan.

Katanya, kegemukan seseorang bergantung kepada kalori yang mereka ambil dalam pemakanan jadi amatlah penting untuk mengetahui sukatan kalori dalam makanan yang bakal diambil.

"Air adalah satu keperluan yang perlu dicukupkan sepanjang tempoh menurunkan berat badan kerana ia akan memastikan setiap organ berfungsi dengan baik.

"Apabila organ berfungsi dengan baik, maka proses mendapatkan badan yang sihat akan lebih mudah sekali gus memudahkan proses menurunkan berat," jelasnya.

Seperkara yang perlu dititik beratkan dalam proses menurunkan berat badan ialah kesihatan kulit.
Apabila gemuk mendadak katanya, kulit akan meregang dan menghasilkan permukaan kulit yang memang tidak lembut dan tidak cantik.

Bahagian yang teregang ketika gemuk akan bertukar menjadi kendur dan kehitaman.

"Maka sebab itulah disarankan juga untuk memakai minyak Bio Oil tiga kali sehari pada bahagian berparut akibat regangan.

"Cara menggunakannya untuk mendapatkan kesan yang terbaik ialah pada waktu pagi dan selepas mandi air panas di waktu petang.

"Pada ketika ini liang roma kulit akan melonggar dan memudahkan proses penyerapan khasiat untuk menghilangkan parut.

"Kesan pemakaian yang konsisten dapat dilihat dalam masa tiga minggu sahaja," ujarnya lagi.

Anime4nz : Artikel Penuh: © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

klik tengah nuffnang

Di Taja Oleh