klik atas nuffnang

Wednesday, October 10, 2012

Rawat Kemurungan Sebelum Terlambat

KEMURUNGAN boleh berlaku pada sesiapa saja, baik lelaki, perempuan, muda, tua, dewasa atau kanak-kanak. Walaupun masih ada yang memandang remeh perkara ini tetapi ketahuilah bahawa kemurungan adalah satu penyakit serius dan perlukan rawatan sewajarnya.

Rasanya sebilangan besar tahu mengenai perkara ini tetapi masih ramai yang malu mendapatkan rawatan, apatah lagi berjumpa pakar psikiatri. Bagi kebanyakan orang berjumpa pakar psikiatri menandakan seseorang itu ada penyakit mental yang sering disamakan dengan ‘gila’.


Namun kita akan jadi lebih ‘gila’ seandainya membiarkan kemurungan menguasai diri, apatah lagi jika ia berlaku pada wanita. Siapa yang akan menguruskan rumah tangga dan menjaga anak-anak seandainya kemurungan mengulit diri?

Jika dirasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan diri kita, segeralah mendapatkan bantuan. Dalam soal kesihatan mental, tiada apa yang hendak dimalukan kerana kemurungan adalah isu global. Malah tema untuk Hari Kesihatan Mental Sedunia yang disambut hari ini (10 Oktober) ialah
 Kemurungan: Satu Krisis Global.

Maknanya ia berlaku di seluruh dunia. Terbaru, dalam Kajian Mori yang dijalankan Persatuan Kemurungan Eropah (EDA) ke atas 7,000 orang di Britain, Jerman, Itali, Denmark, Turki, Sepanyol dan Perancis mendapati, seorang daripada 10 pekerja mengambil cuti akibat masalah ini. Dalam kajian ini Britain menduduki tangga pertama dalam jumlah yang mengalami kemurungan (26 peratus) dan paling rendah di Itali (12 peratus). Di Amerika Syarikat, dianggarkan 20 juta penduduknya mengalami kemurungan.
Masih ramai beranggapan kemurungan berpunca daripada kelemahan jiwa yang membuatkan seseorang berasa sedih berpanjangan. Anggapan ini perlu dibetulkan kerana kemurungan disebabkan berlakunya gangguan pada keseimbangan bahan kimia otak (serotonin dan norepinefrin) yang mengawal emosi kita.

Biasanya kemurungan disebabkan gabungan beberapa faktor. Antara faktor yang boleh menyumbang kepada kemurungan ialah faktor psikologi (tekanan daripada sesuatu peristiwa atau persekitaran) dan faktor genetik (rasa rendah diri atau menghidap penyakit fizikal yang kronik).

Memetik kata-kata Pakar Psikiatri Jabatan Perubatan Psikiatri Universiti Malaya, Profesor Mohamad Hussain Habil, kesedihan kemurungan tidak sama dengan kesedihan biasa yang dialami kebanyakan orang. Kesedihan biasa akan hilang dalam masa dua atau tiga hari tetapi kesedihan kemurungan boleh berlarutan melebihi dua minggu dan bagi kes serius, ia menyebabkan individu murung berasa dirinya tidak berguna serta hilang keinginan untuk meneruskan hidup.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kemurungan adalah bentuk gangguan emosi paling biasa dan ia menjadi penyakit keempat paling serius di dunia yang boleh melumpuhkan jiwa seseorang.

Di negara kita saja sudah banyak kes kemurungan dilaporkan di akhbar sehingga ada yang nekad membunuh diri. Jadi sudah tiba masanya untuk kita memberi lebih perhatian kepada isteri, suami, anak-anak atau ahli keluarga lain jika mereka menunjukkan tanda kemurungan.

Kemurungan dialami lelaki berbeza dengan kemurungan wanita kerana tekanan hidup tidak sama. Lelaki murung biasanya bersikap pemarah, agresif dan mudah terganggu. Wanita murung pula menunjukkan emosi tidak stabil, menjadi pendiam, mengasingkan diri dan memendam perasaan.


Bagaimanapun, secara amnya tanda umum yang disenaraikan di bawah boleh dijadikan panduan iaitu:

  • Emosi negatif dan rasa sedih berpanjangan.
  • Perasaan tidak menentu, sensitif, resah dan keliru.
  • Hilang minat dan rasa seronok.
  • Hilang minat terhadap hubungan seks.
  • Sentiasa berasa letih.
  • Hilang selera makan dan berat badan turun mendadak.
  • Mengalami gangguan tidur (sama ada sukar tidur atau terlalu banyak tidur).
  • Sukar menumpukan perhatian.
  • Rasa kesunyian.
  • Ada perasaan negatif iaitu hilang harapan, berasa tidak berguna, bersalah dan ingin membunuh diri.
  • Alami gejala fizikal seperti sakit belakang dan kepala, pening, masalah perut, dada berdebar dan seluruh badan terasa sakit.


    Senarai di atas juga boleh dijadikan panduan untuk melihat perubahan tingkah laku pada anak-anak kita kerana kajian mendapati semakin ramai golongan muda (remaja dan kanak-kanak) turut dilanda kemurungan. Masih ingatkah anda kisah seorang murid sekolah rendah yang menggantung diri kerana terlalu tertekan selepas mendapati keputusan peperiksaannya tidak seperti yang diharapkan? Tiada siapa yang mahu kisah sedih dan tragik seperti ini berulang, khususnya dalam keluarga kita.

    Kenapa kemurungan perlu dirawat segera? Kemurungan memberi kesan negatif pada psikologi dan fisiologi. Ia menjejaskan emosi, pemikiran dan perlakuan seseorang. Ia menjejaskan hubungan seseorang sama ada di tempat kerja dan di rumah, menghapuskan kegembiraan, memberi kesan pada kesihatan dan kesejahteraan keseluruhan. Malah pada kes yang serius dan paling membimbangkan, ada yang nekad membunuh diri.


    Kemurungan adalah satu masalah yang boleh berulang, terutama jika tidak mendapat rawatan sewajarnya. Antara prinsip untuk membantu memecahkan kitaran kemurungan:
  • Terima kenyataan. Kemurungan adalah penyakit serius dan ubat antikemurungan adalah komponen penting dalam rawatan.
  • Berbincang dengan doktor mengenai perasaan dan kemajuan rawatan. Jangan takut untuk bertanya.
  • Fahami simptom kemurungan melalui rawatan. Berfikiran positif dan meminta bantuan apabila perlu adalah konsep penting dalam proses mengatasi kemurungan.
  • Setiap orang mempunyai gerak balas rawatan yang berbeza. Sesetengah individu melihat keberkesanan rawatan selepas beberapa minggu dan ada yang akan mengalami kesan sampingan.
  • Kemurungan akan berulang jika rawatan tidak betul. Anda hanya boleh pasti kemurungan tidak berulang jika objektif menghapuskan simptom kemurungan berjaya dicapai.
  • Berkomunikasi adalah kunci kejayaan rawatan. Berkomunikasi secara terbuka dengan doktor boleh memaksimumkan kejayaan rawatan manakala berbicara dengan ahli keluarga dan kawan mampu menghapuskan bayangan kemurungan dan menguatkan sistem sokongan anda.
  • Ubat antikemurungan terbukti berkesan dan tidak menyebabkan ketagihan.
  • Usah berhenti mengambil ubat kecuali selepas mendapat nasihat doktor. Ubat antikemurungan perlu diambil dalam tempoh tertentu kerana keberkesanannya hanya dapat dilihat selepas beberapa minggu dan anda akan merasai kesan positif pada perangai dan emosi. Kesan ubat berbeza antara individu dan cara terbaik untuk mendapat manfaatnya ialah mengambil ubat seperti diarahkan doktor.


    Perkara yang perlu diingat:
  • Jangan sisih pesakit daripada menyertai perbincangan atau hal keluarga.
  • Jangan salahkan pesakit atas perubahan kelakuan mereka.
  • Jangan berulang kali menyuruh pesakit menjadi ceria.
  • Jangan lakukan segala-galanya untuk pesakit kerana membantu mereka melakukan semua pekerjaan seolah-olah menafikan kebolehan mereka.
  • Jangan takut untuk bertanya dan minta bantuan.
  • Dalam tempoh ini usah biarkan pesakit membuat keputusan penting mengenai kehidupan mereka (perkahwinan, perceraian, menukar kerjaya atau berpindah rumah sehingga mereka sihat semula).
  • Jangan biarkan pesakit meneruskan tabiat buruk ketika tempoh pemulihan.


    Senarai semakan untuk mengenali kemurungan (soalan untuk ditanya pada diri sendiri)
  • kerana ramai tidak sedar mereka sebenarnya mula mengalami masalah ini.


    1. Adakah anda sering berasa sedih tanpa sebab ?

    2. Adakah anda berasa diri tidak berharga ?

    3. Adakah anda menganggap diri sendiri sebagai orang yang gagal ?

    4. Adakah anda menganggap masa depan anda kelam ?

    5. Adakah anda kerap berasa rendah diri ?

    6. Adakah anda berasa bersalah atas pelbagai perkara yang berlaku ? Atau menyalahkan diri sendiri ?

    7. Adakah anda mengalami masalah untuk membuat keputusan bagi kebanyakan perkara ?

    8. Adakah anda kerap berasa marah atau geram ?

    9. Adakah anda berasa sudah hilang minat terhadap kerjaya, hobi, keluarga dan kawan-kawan ?

    10. Adakah anda kurang bersemangat dan memaksa diri untuk melakukan banyak perkara ?

    11. Adakah anda melihat diri sendiri sudah tua dan tidak lagi menarik ?

    12. Adakah selera makan anda merosot ? Atau adakah kebelakangan ini anda makan dalam kuantiti banyak ?

    13. Adakah anda semakin susah untuk tidur pada waktu malam ?

    14. Adakah anda sering berasa letih dan tetap lesu walaupun tidur lama ?

    15. Adakah anda sudah tiada nafsu untuk mengadakan hubungan seks dengan pasangan ?

    16. Adakah anda sangat risaukan kesihatan anda ?

    17. Adakah anda pernah terfikir hidup ini sudah tidak bererti atau terlintas mahu mati ?


    Anime4nz : Ini hanyalah sebagai panduan dan jika anda menjawab YA dan KERAP pada kebanyakan soalan, segeralah bertemu doktor untuk siasatan lanjut.

    No comments:

    Post a Comment

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

    klik tengah nuffnang

    Di Taja Oleh