klik atas nuffnang

Friday, November 2, 2012

Baki Susu bawa Mudarat

PENGAMALAN tabiat ini bukanlah sekadar rekaan, namun dapat dilihat dengan ketara tatkala pembekalan susu ke sekolah-sekolah rendah kawasan luar bandar yang dilaksanakan menerusi Program Susu 1Malaysia (PS1M).

Menganggapnya sebagai minuman mahal, menyebabkan ada sesetengah murid mengamalkan tabiat berkenaan, tanpa menyedari bahawa perlakuan itu sebenarnya mendedahkan mereka kepada bahaya!

Tabiat minum sedikit dan simpan dalam tempoh penyimpanan agak panjang berpotensi mendedahkan susu kepada penyerangan bakteria. 

Ini akan mengakibatkan kerosakan susu dan berupaya menyebabkan seseorang itu mengalami tanda-tanda klinikal seperti cirit-birit dan muntah.

"Apabila diberikan susu UHT (pek menggunakan kotak), kepada murid-murid, mereka seharusnya minum sehingga habis. Sekiranya mengalami kesukaran untuk menghabiskannya, mereka perlu buang dan tidak boleh simpan.

"Ini kerana susu yang terdedah berpotensi kepada penyerangan bakteria. Dan perkara penting harus diketahui ialah bakteria tidak akan berhenti membiak biarpun susu itu ditutup kembali," kata Pengurus Hal Ehwal Korporat Dutch Lady Milk Industries Bhd, Mohd. Afizi Mohd. Ross.

Program PS1M yang digerakkan kembali selepas pemberhentiannya pada 2007, memberi manfaat kepada seramai 1.53 juta murid sekolah dari 7,613 sekolah seluruh negara.


Bagi menjayakan program ini, sebanyak empat pembekal dilantik iaitu, Dutch Lady Milk Industries, Sabah International Dairies Sdn Bhd (SiD), Konsuma Sdn Bhd (Konsuma) dan Hybrid Allied Sdn Bhd (Hybrid).

Peti ais penyelamat?
Biarpun begitu, ada berpendapat bahawa susu yang telah dibuka akan sentiasa berada dalam keadaan "selamat", tidak diserang bakteria, kerana disimpan dalam peti sejuk.

Walhal, realitinya menunjukkan sebaliknya.

Harus diingat, penyimpanan susu dalam tempoh agak lama dalam peti sejuk tetap menyebabkan bakteria menyerang, kerana konsepnya tetap sama yakni menjurus kepada pembiakan bakteria sebaik sahaja susu itu dibuka.

"Kalau bakteria sudah masuk ia tidak akan keluar biarpun anda menutupnya dan menyimpannya dalam peti sejuk. Pembiakan bakteria tetap akan berlaku, cuma mungkin suhu sejuk melambatkannya," katanya kepada Bernama.

Disebabkan itulah, dinasihatkan susu yang telah dibuka, tidak kira sama ada dalam bentuk UHT (pek menggunakan kotak), STM (pek menggunakan botol), perlu dihabiskan secepat mungkin.

Tarikh luput
Dalam pada itu, agak menyedihkan apabila diberitahu masih ramai beranggapan bahawa susu yang telah dibuka masih segar dan selamat diminum, syaratnya ia mesti tidak melebihi daripada tarikh luput ditetapkan.
Akan tetapi, tahukah anda bahawa pemahaman dan persepsi anda berhubung perkara itu adalah silap sama sekali.

Sekiranya tidak, mengapakah susu itu boleh "basi" sebelum melepasi tarikh luput?

Mohd. Afizi berkata senario itu berpunca daripada penyerangan bakteria, dan atas faktor itulah susu perlu dihabiskan secepat mungkin tanpa mengira bila tarikh luputnya.

"Sebenarnya, tarikh luput adalah merujuk kepada tarikh yang belum dibuka, itu jangka hayat bagi produk susu. Contoh, saya membeli satu produk susu yang belum lagi melepasi tarikh luput.

"Kemudian, saya buka susu itu dan minum separuh. Dan, saya tidak boleh lagi merujuk kepada tarikh luput berkenaan dan perlu habiskan susu itu secepat mungkin," katanya.

Masih ramai mempunyai persepsi bahawa pengambilan susu semasa perut 'kosong' sudah mencukupi.
Walhal, penggantungan seratus peratus kepada susu dengan perut kosong boleh mendedahkan seseorang itu kepada simptom klinikal.

Disebabkan itulah, amalan minum susu dinasihatkan diambil selepas sarapan mahupun makan tengah hari.

Keadaan ini akan bertambah parah, sekiranya seseorang itu mengalami masalah 'intoleransi laktosa'.
Merupakan satu keadaan di mana seseorang itu tidak berkeupayaan untuk mencerna dan menyerap laktosa (gula dalam susu), ia akan menyebabkan sakit perut, rasa mual dan kembung perut apabila mengambil makanan/produk tenusu.

"Situasi ini disebabkan oleh tubuh yang kurang atau tidak mampu mengeluarkan enzim lactase (enzim pencernaan yang dikeluarkan oleh sel-sel di dalam usus kecil) yang bertugas memecahkan gula susu untuk menjadi bentuk yang lebih mudah diserap oleh tubuh," katanya.

Sekiranya proses ini tidak berupaya dicerna dengan baik, ia boleh menyumbang kepada keracunan makanan. Bagaimanapun, ini tidak bermakna mereka yang menghadapi intoleransi laktosa tidak boleh minum susu.

Disarankan minum susu dalam kuantiti sedikit pada peringkat awal selain diambil bukan dengan perut kosong, lama-kelamaan ia (intoleransi laktosa) akan berkurangan.

"Semasa pemberian susu ke sekolah-sekolah, kami (Dutch Lady) akan pantau sekiranya murid ada intoleransi laktosa.

" Ini kerana, ada murid yang tidak pernah minum susu tidak tahu mereka mempunyai masalah berkenaan," katanya.

Masih rendah
Semua ini menunjukkan tatacara mahupun amalan minum susu dengan cara betul dalam kalangan masyarakat negara ini khususnya kanak-kanak masih rendah.

Mungkin disebabkan ia kurang diberi pendedahan berbanding negara seperti Eropah akan tatacara yang betul dalam pengambilan susu sebagai diet harian.

Terdapat juga anggapan bahawa susu hanya sesuai untuk golongan kanak-kanak dan bukannya orang dewasa. Ini dapat diperjelaskan lagi menerusi kajian Malaysian Adult Nutrition Survey (Mans) yang dijalankan pada 2002/2003.

Hasil kajian itu mendapati, golongan dewasa hanya mengambil susu sebanyak 0.14 gelas sehari berbanding hidangan yang dicadangkan oleh piramid makanan iaitu 1-3 gelas sehari.

"Mengambil tahu tentang cara pengambilan susu yang betul adalah amat penting terutamanya kepada pelajar-pelajar sekolah. Ini boleh mengelakkan daripada berlakunya simptom-simptom klinikal dan sebagainya," katanya. — BERNAMA

Artikel Penuh: © Utusan Melayu (M) Bhd

Keluarga Avail : Minum susu segar lebih terasa enak... susu ibu adalah yang terbaik

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

klik tengah nuffnang

Di Taja Oleh