klik atas nuffnang

Sunday, December 7, 2014

pendarahan haid abnormal

Ramai wanita yang mengalami pendarahan yang tidak normal pada kitaran haid bulanannya. Malah, terdapat wanita yang mengalaminya dengan serius manakala ada yang sembuh tanpa memerlukan apa-apa rawatan. Walaupun gejala pendarahan tersebut serius, wanita haruslah mengetahui punca, bagaimana diagnosis dikenal pasti dan kaedah rawatan yang mungkin diberikan. Terdapat pelbagai penyebab pendarahan haid yang abnormal termasuk darah yang keluar selepas melakukan hubungan seks, tidak menentu harinya dalam kitaran haid, keluar darah semula dengan kuantiti yang amat sedikit pada hari ke 10 atau hari lain beserta warna kehitaman dan coklat, jumlah darah yang banyak serta bilangan harinya panjang daripada hari-hari sebelum ini dan selepas menopaus (putusnya haid secara fisiologi).

Pendarahan yang berlaku pada pertengahan kitaran haid boleh berlaku selama beberapa hari. Terdapat sebahagian wanita yang mengalami gejala kesakitan disertai dengan pendarahan tersebut. Kesakitan tersebut biasanya disebabkan oleh pengovulan atau pengeluaran ovum.

Pendarahan abnormal mempunyai banyak punca dan lazimnya doktor akan menumpukan pemeriksaan kepada penyebab yang biasa mengikut umur. Sejarah kesihatan dan pengambilan ubat-ubatan juga akan direkodkan. Kebanyakan wanita, ketidakseimbangan aras hormon mungkin menyebabkan keabnormalan berlaku pada kitaran haidnya. Kebiasannya punca wanita mengalami pendarahan yang tidak normal termasuklah kehamilan, keguguran, kehamilan di luar rahim (kehamilan ektopik) atau masalah berkaitan penggunaan alat dalam rahim dan pil perancang keluarga. Selain itu, jangkitan pada rahim atau pangkal rahim, ketumbuhan fibroid dan polip pada rahim serta masalah sistem pembekuan darah. Wanita yang mengalami penyakit seperti kanser rahim, ovari, pangkal rahim dan faraj atau berhadapan dengan masalah kesihatan kronik seperti penyakit tiroid dan diabetes melitus mungkin menjadi puncanya.

Lazimnya, pemeriksaan lanjutan yang disyorkan adalah berdasarkan pada simptom dan tanda yang boleh dilihat, iaitu pemeriksaan ujian imbasan ultrabunyi untuk meneliti keadaan dalaman persekitaran pelvis. Ujian lain juga dilakukan mengikut petunjuk tertentu iaitu ujian biopsi dinding rahim secara meneropong ke dalam rahim. Kaedah meneropong ini dikenal juga sebagai prosedur histeroskopi.


Lazimnya terdapat tiga pilihan kaedah rawatan yang boleh diberikan kepada wanita untuk mengatasi masalah pendarahan tersebut termasuk:

(a) Rawatan hormon yang biasanya akan mengambil masa yang lama untuk mengembalikan kitaran haid. Rawatan ini mungkin diberikan dengan mengambil pil ubatan. Sekiranya wanita mengalami hiperplasia atau penebalan pada dinding rahim, keadaan ini boleh dirawat dengan terapi hormon progesteron.

(b) Pengambilan ubat-ubatan lain seperti Non-steroidal anti-inflammatory (NSAID) dapat mengurangkan jumlah pendarahan. Ubat ini juga berkesan jika wanita mengalami masalah senggugut.

(c) Pemberian antibiotik jika wanita mengalami jangkitan kuman. Malahan wanita berkenaan mungkin disyorkan menjalani pembedahan histeroskopi apabila pendarahan berpunca daripada ketumbuhan, contohnya polip dan fibroid.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

klik tengah nuffnang

Di Taja Oleh