SEMAKIN hari kesakitan tulang belakang Daud
(bukan nama sebenar) semakin mengganggu aktiviti hariannya terutama
semasa memandu dan tidur. Rasanya sangat sakit khususnya di bahagian
sisi paha hingga ke belakang sampaikan dia pernah tak tidur selama
sebulan. Tidak tahan dengan kesakitan, akhirnya Daud menjalani
pemeriksaan di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Hasil diagnosis yang
dilakukan cukup mengejutkan. Kesakitan yang dianggapnya kecil
rupa-rupanya hampir meragut keupayaannya untuk berjalan. Dia disahkan
menghidap kanser paru-paru dan sudah mengalami tahap metastasis tulang.
Apakah yang dimaksudkan dengan metastasis tulang?
Metastasis tulang berlaku kepada lebih 1.5 juta penghidap kanser di
seluruh dunia dan biasanya dikaitkan dengan kanser prostat, paru-paru
dan payu dara dengan kadar insiden setinggi 90 peratus.
Lebih kurang 50 hingga 70 peratus penghidap kanser dengan metastasis
tulang akan mengalami pemadatan tulang belakang dan sakit teruk pada
tulang sehingga mungkin memerlukan pembedahan atau radiasi yang dikenali
sebagai keadaan berkaitan rangka (SRE).
Keadaan tersebut boleh mengganggu kehidupan pesakit dan menyebabkan ketidakupayaan dan kesakitan.
Tujuan utama rawatan metastasis tulang adalah untuk menghalang SRE
yang boleh melemahkan dan melibatkan kos lain yang boleh menjejaskan
kehidupan penghidap barah.
Selain itu, rawatan penting untuk menghalang ketidakupayaan melakukan aktiviti harian.