Haid adalah suatu keadaan fisiologi yang tetap dan teratur. Ia dialami
oleh wanita yang berada dalam lingkungan umur yang berupaya untuk
mengandung. Semasa kedatangan haid, seseorang wanita akan kehilangan
darah. Tempoh reproduktif seseorang wanita dicirikan dengan perubahan
ritmik pada rembesan hormon yang diperlukan untuk pembiakan. Corak
ritmik ini dikenali sebagai kitaran seksual wanita atau kitaran haid.
Fungsi kitaran haid ialah menghasilkan telur (ovum) yang matang
daripada ovari dan menyediakan lapisan dalam rahim untuk implantasi
embrio. Jika tidak berlaku persenyawaan, telur akan mengalami degenerasi
dan dibuang bersama bahan-bahan lain yang keluar daripada tubuh wanita
melalui saluran vagina.
Proses haid akan membuang keluar darah, mukus/lendiran dan sel-sel
yang sudah mati. Proses ini berlaku dalam tempoh yang agak tetap
daripada masa akil baligh sehinggalah menopaus (putus haid) kecuali
semasa mengandung dan penyusuan. Proses haid bermula daripada umur 12
atau 13 tahun tetapi kadangkala seawal umur 10 tahun dan
selewat-lewatnya 16 tahun. Permulaan haid banyak bergantung kepada
beberapa faktor seperti kaum, genetik, suhu persekitaran dan status
nutrisi serta pemakanan. Putus haid berlaku pada purata umur 47 tahun
(julat umur antara 45 hingga 55 tahun). Purata tempoh kitaran haid bagi
wanita yang normal ialah 28 hari. Hari pertama haid dianggap sebagai
hari pertama bagi setiap kitaran baru. Setiap kitaran bagi seorang
wanita yang normal dan sihat ialah di antara 20 hingga 45 hari.
Perbezaan tempoh kitaran bergantung kepada umur. Tempoh aliran keluar
haid juga berbeza-beza.
Purata kitaran haid di kalangan gadis ialah 6.6 hari manakala pada
umur 21 tahun, purata tempoh haid menjadi enam hari sehinggalah mencapai
tahap putus haid. Lebih kurang lima peratus wanita yang sihat datang
haid kurang daripada empat hari dan lima peratus lagi wanita yang
mengalami lebih daripada lapan hari. Jumlah purata darah dan tisu yang
hilang semasa kedatangan haid ialah 70 ml. Wanita yang berumur kurang
daripada 35 tahun akan kehilangan darah lebih banyak berbanding wanita
yang berumur 35 tahun ke atas.
Jumlah keseluruhan cecair badan yang hilang semasa haid ialah di antara 60 hingga 200 ml.
Sesetengah wanita akan mengalami simtom atau gejala yang tidak
selesa dalam tempoh haid tersebut. Di dalam tempoh tersebut wanita akan
mengalami masalah seperti sakit kepala, pengumpulan cecair, ketegangan
payu dara, mudah meradang, keresahan, sakit tulang belakang, kesakitan
dan kekejangan pada bahagian abdomen serta tekanan perasaan.
Kehadiran dan keterukan gejala ini berbeza-beza di kalangan wanita.
Masalah ini boleh dibantu oleh ahli farmasi atau diurus sendiri oleh
wanita tersebut. Mereka yang mengalami masalah tersebut yang berkunjung
ke kedai farmasi akan ditemubual untuk memastikan keterukan masalah dan
sama ada wanita berkenaan harus mendapatkan pemerhatian doktor. Temubual
ini juga dapat membantu ahli farmasi untuk menilai masalah pesakit dan
memilih atau menyarankan produk atau ubat yang sesuai dan berkesan bagi
mengatasi masalah tersebut.
Abnormal semasa haid dan cara mengatasi
Tidak semua wanita yang akan mengalami kedatangan haid tanpa
masalah. Adalah dianggarkan seramai 10 peratus wanita mempunyai masalah
sakit puan yang kronik. Sesetengah wanita mempunyai masalah seperti
berikut:
1. Dismenorea
/ Senggugut
Merupakan satu keadaan di mana wanita mengalami kesakitan dan
kekejangan yang teruk semasa haid. Dianggarkan sebanyak 50% wanita
mengalami masalah ini dengan gejala kekejangan yang berlaku pada awal
kedatangan haid dan hilang selepas satu hingga dua hari tanpa
menjejaskan aktiviti harian. Sebanyak 10% wanita dikatakan mengalami
sakit kekejangan yang teruk pada bahagian bawah abdomen dan kerap kali
disertai gejala sistematik seperti mual, muntah, cirit-birit, sakit
kepala dan kepeningan. Ia juga kerap berlaku di awal tempoh haid.
Masalah dismenorea boleh dikelaskan kepada primer atau skunder.
Dismenorea primer berlaku kerana pengecutan otot rahim dan akan
disebabkan oleh masalah penyakit tertentu. Sebaliknya, dismenorea
sekunder berlaku disebabkan masalah tertentu seperti endometriosis,
fibroids (ketumbuhan otot-otot pada bahagian rahim) atau penyakit
inflamasi pelvik.
Sebelum menyarankan kaedah rawatan, ahli farmasi atau doktor harus
mengenalpasti masa bermulanya sakit berhubung dengan haid tersebut.
Sakit akibat dismenorea primer berlaku sebelum atau semasa dua hari
pertama haid. Jika kesakitan berlanjutan dan menjadi lebih teruk, ia
mungkin diakibatkan oleh masalah yang serius dan perlu dirujuk kepada
doktor pakar.
2. Menoragia
Merupakan pendarahah yang banyak semasa haid. Ini berlaku pada
sembilan peratus hingga 14% wanita dan boleh mengakibatkan beberapa
masalah. Pembekuan darah biasa berlaku semasa pendarahan yang banyak
tetapi ia tidak merbahaya. Wanita perlu berjumpa doktor jika pendarahan
berlaku di antara tempoh haid atau semasa mengandung.
3. Amenorea
Merupakan masalah tidak datang haid (primer) atau kurang alami haid
(sekunder). Sesetengah wanita tidak datang haid melebihi tempoh tiga
bulan. Amenorea primer selalunya dikaitkan dengan kegagalan berlaku haid
sebelum 18 tahun dan dikaitkan dengan disfungsi kromosomal, pituitari
atau ovarian. Pesakit yang mengalami amenorea primer dan sekunder perlu
dirujuk kepada doktor. Amenorea sekunder biasanya disebabkan oleh
mengandung, penyusuan, menopaus dan pemberhentian pil kontraseptik.
Sebab-sebab lain ialah gangguan bahagian hipotalamus (bahagian otak),
kelenjara pituitari, kelenjar adrenal, ovari dan uterus.
4. Pendarahan dan kesakitan semasa tempoh antara haid.
Berlaku di pertengahan kitar haid dan boleh berlaku selama beberapa
jam sehingga beberapa hari. Kesakitan ini boleh disertai dengan
pendarahan. Terdapat hubungan di antara kesakitan interhaid, pendarahan
dan ovulasi. Ramai wanita yang mengalami pendarahan dan kesakitan yang
singkat di antara kitaran haid. Ketidakselesaan ini biasanya disebabkan
oleh ovulasi. Jika masalah in berlanjutan dan menjadi teruk (melebihi
dua hari), wanita tersebut perlu dirujuk kepada doktor.
5. Sindrom prahaid
Ramai wanita yang mengalami gejala berulang-ulang yang kompleks. Ini
dikenali sebagai Sindrom Prahaid. Biasanya gejala ini membabitkan rasa
mual selama dua atau tiga hari sebelum kedatangan haid atau di
akhir-ahir tempoh haid. Ia disebabkan oleh naik turun paras hormon. Masa
bermula gejala berbeza di kalangan wanita tetapi ia adalah konsisten
bagi setiap wanita. Kebiasaannya, gejala ini disebabkan oleh gabungan
keadaan fisiologi. Psikologi dan faktor budaya. Di antara gejala yang
sering dialami ialah:
Psikologikal - emosi menjadi terlalu sensitif, meradang, lesu, tertekan, keresahan dan gangguan tidur.
Neurologik - sakit kepala (migrain), pening, pitam, sawan
Payu dara - ketegangan, bengkak
Saluran gastrousus - sembelit, kembung perut, kekejangan pada bahagian abdomen, ketagihan gula-gula
Kaki dan tangan - bengkak dan berair (edema)
Kurang kencing
Kulit berjerawat
Kenalpasti Sindrom
Kebanyakan wanita yang menggunakan produk farmaseutikal atau ubat
tanpa nasihat doktor dan dengan kata lain mengamalkan swa-pengubatan
adalah wanita-wanita yang sihat dan mengalami gejala-gejala sindrom
prahaid seperti sakit kepala, pengumpulan cecair atau kekejangan pada
bahagian abdomen. Produk atau ubat yang berkaitan dengan masalah
tersebut boleh didapati di kedai farmasi dengan nasihat ahli farmasi.
Adalah penting untuk mendapatkan ubat yang biasa diambil tanpa
memberikan kesan samping serta mujarab. Namun, ahli farmasi mesti
mengenalpasti gejala yang dialami semasa kitaran haid yang lalu dan
bukannya gejala akibat penyakit yang lebih serius dan memerlukan
permerhatian doktor pakar sakit puan (obstretrik dan ginaekologi).
Wanita harus berwaspada terhadap gejala yang boleh disebabkan oleh
penyakit-penyakit yang lebih serius dan memerlukan rawatan segera. Di
antara masalah yang memerlukan pemerhatian doktor pakar dengan segera
ialah pendarahan yang teruk, tidak datang haid, discaj yang tidak normal
daripada bahagian vagina, kesakitan yang amat sangat sebelum dan
semasa haid, kesakitan ketika melakukan hubungan seksual, ketumbuhan
pada bahagian payu dara atau dicaj yang tidak normal daripada bahagian
puting payu dara.
Kaedah rawatan
Jenis dan keberkesanan rawatan bagi masalah di atas bergantung kepada kumpulan gejala atau simtom yang dialami oleh wanita:
Sakit - kekejangan otot, sakit kepala, sakit payu dara, sakit belakang dan lesu.
Pengumpulan cecair - kenaikan berat badan, masalah kulit, sakit payu dara dan pembengkakan.
Kesan psikologi - sedih, kesepian, keresahan, tidak selesa, mudah meradang, murung, tertekan.
Ubat-ubat yang ingin dipreskripsi haruslah bergantung kepada
kumpulan gejala di atas serta mengenalpasti tahap gangguan haid yang
telah diterangkan seperti di atas.
Di antara ubat dan kaedah rawatan yang boleh digunakan ialah:
Ubat penahan atau menghilangkan rasa sakit
NSAIDs - ubat anti-inflamasi bukan steroid seperti aspirin,
ibuprofen, asid mefenamik - berkesan untuk mengurangkan pendarahan dan
kekejangan. Ia patut diambil tujuh atau sepuluh hari sebelum datang haid
untuk mendapatkan kesan yang maksimum.
Asetaminofen - Kajian menunjukkan ia boleh mengurangkan paras fonadotrofin dan estradiol
Hormon
Pil kontraseptif - Ia menghalang penghasilan hormon lelaki dan
merencat reseptor estrogen dalam uterus wanita. Ia kerap digunakan untuk
mengawalatur tempoh haid termasuk masalah dismenorea, amenorea dan
menoragia.
Progesteron dalam bentuk sintetik - Progestin, contoh,
medroksiprogesteron, noretindron, norgestrel, digunakan untuk masalah
menoragia dan mengembalikan masalah haid (seperti tempoh haid yang tidak
tetap) kepada normal.
Analog GnRH (suntikan agen hormon)
Mengurangkan paras hormon estrogen
Kaedah tanpa drug seperti cara pemakanan yang sihat, senaman, teknik
mengurangkan tekanan, kebersihan (penggunaan tuala wanita) dan sokongan
sosial.
Oleh Dr. Mohamed Izham Mohamed Ibrahim & Dr. Norlela Maarup.
No comments:
Post a Comment