PENGAMALAN tabiat ini bukanlah sekadar rekaan, namun dapat dilihat
dengan ketara tatkala pembekalan susu ke sekolah-sekolah rendah kawasan
luar bandar yang dilaksanakan menerusi Program Susu 1Malaysia (PS1M).
Menganggapnya sebagai minuman mahal, menyebabkan ada sesetengah murid
mengamalkan tabiat berkenaan, tanpa menyedari bahawa perlakuan itu
sebenarnya mendedahkan mereka kepada bahaya!
Tabiat minum sedikit dan simpan dalam tempoh penyimpanan agak panjang berpotensi mendedahkan susu kepada penyerangan bakteria.
Ini akan mengakibatkan kerosakan susu dan berupaya menyebabkan
seseorang itu mengalami tanda-tanda klinikal seperti cirit-birit dan
muntah.
"Apabila diberikan susu UHT (pek menggunakan kotak), kepada
murid-murid, mereka seharusnya minum sehingga habis. Sekiranya mengalami
kesukaran untuk menghabiskannya, mereka perlu buang dan tidak boleh
simpan.
"Ini kerana susu yang terdedah berpotensi kepada penyerangan
bakteria. Dan perkara penting harus diketahui ialah bakteria tidak akan
berhenti membiak biarpun susu itu ditutup kembali," kata Pengurus Hal
Ehwal Korporat Dutch Lady Milk Industries Bhd, Mohd. Afizi Mohd. Ross.
Program PS1M yang digerakkan kembali selepas pemberhentiannya pada
2007, memberi manfaat kepada seramai 1.53 juta murid sekolah dari 7,613
sekolah seluruh negara.
Bagi menjayakan program ini, sebanyak empat pembekal dilantik iaitu,
Dutch Lady Milk Industries, Sabah International Dairies Sdn Bhd (SiD),
Konsuma Sdn Bhd (Konsuma) dan Hybrid Allied Sdn Bhd (Hybrid).
Peti ais penyelamat?
Biarpun begitu, ada berpendapat bahawa susu yang telah dibuka akan
sentiasa berada dalam keadaan "selamat", tidak diserang bakteria, kerana
disimpan dalam peti sejuk.
Walhal, realitinya menunjukkan sebaliknya.
Harus diingat, penyimpanan susu dalam tempoh agak lama dalam peti
sejuk tetap menyebabkan bakteria menyerang, kerana konsepnya tetap sama
yakni menjurus kepada pembiakan bakteria sebaik sahaja susu itu dibuka.
"Kalau bakteria sudah masuk ia tidak akan keluar biarpun anda
menutupnya dan menyimpannya dalam peti sejuk. Pembiakan bakteria tetap
akan berlaku, cuma mungkin suhu sejuk melambatkannya," katanya kepada
Bernama.
Disebabkan itulah, dinasihatkan susu yang telah dibuka, tidak kira
sama ada dalam bentuk UHT (pek menggunakan kotak), STM (pek menggunakan
botol), perlu dihabiskan secepat mungkin.
Tarikh luput
Dalam pada itu, agak menyedihkan apabila diberitahu masih ramai
beranggapan bahawa susu yang telah dibuka masih segar dan selamat
diminum, syaratnya ia mesti tidak melebihi daripada tarikh luput
ditetapkan.
Akan tetapi, tahukah anda bahawa pemahaman dan persepsi anda berhubung perkara itu adalah silap sama sekali.
Sekiranya tidak, mengapakah susu itu boleh "basi" sebelum melepasi tarikh luput?
Mohd. Afizi berkata senario itu berpunca daripada penyerangan
bakteria, dan atas faktor itulah susu perlu dihabiskan secepat mungkin
tanpa mengira bila tarikh luputnya.
"Sebenarnya, tarikh luput adalah merujuk kepada tarikh yang belum
dibuka, itu jangka hayat bagi produk susu. Contoh, saya membeli satu
produk susu yang belum lagi melepasi tarikh luput.
"Kemudian, saya buka susu itu dan minum separuh. Dan, saya tidak
boleh lagi merujuk kepada tarikh luput berkenaan dan perlu habiskan susu
itu secepat mungkin," katanya.
Masih ramai mempunyai persepsi bahawa pengambilan susu semasa perut 'kosong' sudah mencukupi.
Walhal, penggantungan seratus peratus kepada susu dengan perut kosong boleh mendedahkan seseorang itu kepada simptom klinikal.
Disebabkan itulah, amalan minum susu dinasihatkan diambil selepas sarapan mahupun makan tengah hari.
Keadaan ini akan bertambah parah, sekiranya seseorang itu mengalami masalah 'intoleransi laktosa'.
Merupakan satu keadaan di mana seseorang itu tidak berkeupayaan untuk
mencerna dan menyerap laktosa (gula dalam susu), ia akan menyebabkan
sakit perut, rasa mual dan kembung perut apabila mengambil
makanan/produk tenusu.
"Situasi ini disebabkan oleh tubuh yang kurang atau tidak mampu
mengeluarkan enzim lactase (enzim pencernaan yang dikeluarkan oleh
sel-sel di dalam usus kecil) yang bertugas memecahkan gula susu untuk
menjadi bentuk yang lebih mudah diserap oleh tubuh," katanya.
Sekiranya proses ini tidak berupaya dicerna dengan baik, ia boleh
menyumbang kepada keracunan makanan. Bagaimanapun, ini tidak bermakna
mereka yang menghadapi intoleransi laktosa tidak boleh minum susu.
Disarankan minum susu dalam kuantiti sedikit pada peringkat awal
selain diambil bukan dengan perut kosong, lama-kelamaan ia (intoleransi
laktosa) akan berkurangan.
"Semasa pemberian susu ke sekolah-sekolah, kami (Dutch Lady) akan pantau sekiranya murid ada intoleransi laktosa.
" Ini kerana, ada murid yang tidak pernah minum susu tidak tahu mereka mempunyai masalah berkenaan," katanya.
Masih rendah
Semua ini menunjukkan tatacara mahupun amalan minum susu dengan cara
betul dalam kalangan masyarakat negara ini khususnya kanak-kanak masih
rendah.
Mungkin disebabkan ia kurang diberi pendedahan berbanding negara
seperti Eropah akan tatacara yang betul dalam pengambilan susu sebagai
diet harian.
Terdapat juga anggapan bahawa susu hanya sesuai untuk golongan
kanak-kanak dan bukannya orang dewasa. Ini dapat diperjelaskan lagi
menerusi kajian Malaysian Adult Nutrition Survey (Mans) yang dijalankan pada 2002/2003.
Hasil kajian itu mendapati, golongan dewasa hanya mengambil susu
sebanyak 0.14 gelas sehari berbanding hidangan yang dicadangkan oleh
piramid makanan iaitu 1-3 gelas sehari.
"Mengambil tahu tentang cara pengambilan susu yang betul adalah amat
penting terutamanya kepada pelajar-pelajar sekolah. Ini boleh
mengelakkan daripada berlakunya simptom-simptom klinikal dan
sebagainya," katanya. — BERNAMA
No comments:
Post a Comment