“Makan kena pantang. Tak boleh makan nasi biasa yang berkanji dan
tinggi karbohidrat, tak boleh ambil banyak makanan manis, tinggi
kandungan protein dan garam.
“Jangan sampai terlebih ayam, ikan, daging, hati dan soya. Semuanya kena hati-hati...”
“Jika dah semua tak boleh, habis saya nak makan apa?” Keluhan yang
sering ditimbulkan kebanyakan pesakit yang menjalani rawatan dialisis.
Kebanyakan pesakit mengakui mereka lebih ditekankan apa yang tidak
boleh dimakan berbanding apa yang boleh dimakan sehingga mendatangkan
tekanan.
Seharusnya panduan pemakanan yang sihat boleh membawa keseronokan
kepada pesakit dialisis untuk pengurusan pemakanan dan diet mereka.
Atas keprihatinan itu, Hospital Kuala Lumpur (HKL) menerbitkan buku
Resipi Pesakit Dialisis 2013 yang pertama seumpamanya untuk pesakit
dialisis, baru-baru ini.
“Isi kandungan buku ini membimbing cara pemakanan sihat dan gaya hidup sempurna.
“Buku itu diharap membantu meningkatkan pemahaman dan kepentingan
pengurusan pemakanan kepada pesakit dialisis,” kata Ketua Jabatan
Nefrologi HKL dan Ketua Perkhidmatan Nefrologi bagi Kementerian
Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Ghazali Ahmad.
Di Malaysia, penyakit buah pinggang kronik adalah masalah kesihatan
yang serius yang memerlukan rawatan dialisis atau pemindahan buah
pinggang agar mereka boleh meneruskan kehidupan.
Statistik HKL mendapati negara mempunyai 25,688 pesakit dialisis dan 1,884 penerima buah pinggang berdaftar pada 2011.
Penyakit buah pinggang kronik mempengaruhi semua aspek kehidupan pesakit dan anggota keluarga terdekat.
Kebanyakan orang menganggap hanya rawatan dialisis dan pemindahan
buah pinggang jalan terbaik bagi mengawal penyakit ini dan mengabaikan
pengurusan pemakanan dan diet.
Masalah pesakit dialisis ialah berkaitan pengambilan makanan dan minuman berlebihan atau tidak sesuai dengan penyakit mereka.
Katanya, jumlah penghidap penyakit buah pinggang kronik (CKD) kian
bertambah dan membimbangkan jika orang ramai tidak mengambil sebarang
langkah pencegahan awal.
Fungsi buah pinggang ialah menapis bahan buangan dalam badan, namun bagi pesakit CKD, peranannya terhad.
Oleh itu, kandungan nutrien makanan yang dimakan pesakit perlu diberi pertimbangan khusus.
Apabila buah pinggang gagal berfungsi, pesakit yang menjalani
dialisis perlulah mengawal kandungan air dan garam bagi mengelak
bengkak di kaki dan paru-paru berair.
Buku resipi ini menyediakan panduan masakan sesuai untuk pesakit buah pinggang berdasarkan cadangan pakar pemakanan.
“Pesakit dialisis perlu mengawasi diet mereka di samping mengetahui
jumlah protein, kalori, cecair, vitamin dan mineral yang diambil setiap
hari,” katanya.
Pakar Pemakanan HKL (Pakar Diet), Datin Nor Sharita Mohd Saad
berkata, buku itu bukan saja memaparkan pelbagai jenis hidangan dan
masakan yang boleh dicuba pesakit, malah menyatakan jumlah dan sukatan
yang sesuai untuk satu hidangan empat orang.
Turut disediakan panduan sukatan yang betul mengikut sukatan peralatan yang sedia ada di dapur biasa (ukuran rumah tangga).
Jika panduan itu diikuti dengan betul, pesakit dialisis akan dapat
menikmati masakan seperti asam pedas, daging masak halia, ayam goreng
berempah, nasi goreng Cina, asam laksa, cendol, samosa dan karipap.
“Resipi yang tersedia dalam buku ini adalah hasil yang diubah suai berdasarkan komen pesakit dan pegawai perubatan.
“Resipi yang dimuatkan mematuhi jumlah garam (sodium) yang
dibenarkan selain mengandungi analisis makanan yang menunjukkan jumlah
kandungan kalori, protein, potasium dan fostat dalam makanan itu,”
katanya.
Cara penyediaannya mudah dan boleh dimasak sama ada oleh pesakit atau penjaga mereka.
Buku yang diterbitkan Jabatan Nefrologi dan Jabatan Dietetik &
Sajian HKL dengan usaha sama AbbVie Sdn Bhd itu akan di terjemahkan ke
bahasa Inggeris, Tamil dan Mandarin.
Layari laman web, www.hkl.gov.my untuk maklumat lanjut. - Bernama
No comments:
Post a Comment