Adakah masalah uri melekat pada dinding rahim ini kerap berlaku?
Masalah uri melekat atau dikenali sebagai placenta accreta tidak kerap berlaku. Keadaan ini berlaku apabila uri melekat di kawasan otot dinding rahim (uterus) pada lapisan endometrium. Placenta increta pula adalah keadaan yang lebih kritikal iaitu uri tertanam ke dalam otot dinding rahim atau lapisan miometrium.
Placenta percreta pula adalah keadaan uri tertanam menembusi
keseluruhan dinding rahim ke permukaan luarnya sehingga lapisan serosa
dan melibatkan organ yang berdekatan seperti pundi kencing dan rektum.
Lebih kurang 75 ke 78 peratus daripada kes uri melekat adalah jenis
placenta accreta. Lebih kurang 17 peratus lagi adalah masalah placenta
increta. Selebihnya, iaitu lima ke tujuh peratus disebabkan oleh masalah
placenta percreta.
Jarang
Masalah ini amat jarang sekali berlaku dan boleh didapati satu dalam
2,500 kehamilan. Kebiasaannya ia mengakibatkan pendarahan teruk semasa
trimester ketiga kehamilan dan selalunya mengakibatkan kelahiran agak
pramatang.
Bagi anak pula, risiko uri melekat boleh dikatakan tiada kerana ia
berlaku setelah anak dilahirkan kecuali jika anak itu pramatang. Namun,
bagi ibu, ia boleh menyebabkan kehilangan darah yang banyak (pendarahan
melebihi 500 mililiter), rahim tidak atau lambat mengecut, penggunaan
prosedur pengeluaran plasenta secara manual, pemberian ubat oksitosik
dan bius, jangkitan rahim, pendermaan darah, pembedahan mengikat saluran
darah arteri iliak interna malah jika terdesak, pembuangan rahim.
Seelok-eloknya, elakkan prosedur berkaitan (seperti di atas) melainkan
jika perlu.
Apa yang menyebabkan masalah ini? Faktor risiko? Siapa yang berisiko mengalami masalah ini?
Faktor-faktor yang boleh meningkatkan risiko uri melekat adalah jika
wanita yang hamil itu juga mengalami masalah plasenta previa. Plasenta
previa dikatakan terjadi apabila plasenta atau uri berada di bahagian
bawah rahim menyebabkan bukaan pangkal rahim tersekat. Masalah uri
melekat boleh berlaku dalam 10 peratus wanita hamil yang juga mengalami
plasenta previa.
Mereka yang berisiko tinggi untuk mangalami masalah ini adalah mereka
yang pernah menjalani pembedahan pada rahim seperti D & C
(pendilatan dan pengkuretan), sindrom Asherman (pelekatan pada dinding
rahim), pembedahan miomektomi (pembuangan fibroid) dan juga pembedahan
caesarean pada kelahiran lepas. Ini akan menyebabkan otot dinding rahim
pada bahagian tersebut menjadi nipis berbanding pada bahagian lain
menyebabkan plasenta yang menempel pada peringkat awal kehamilan akan
menyebabkan uri (plasenta) tertanam dengan lebih dalam.
Apa tanda yang menunjukkan kehamilan seseorang wanita itu ada masalah?
Jika wanita tersebut mempunyai sejarah perubatan dan pembedahan
lampau yang telah disebutkan di atas dan juga sekarang mengalami
kehamilan plasenta previa.
Apakah cara untuk mengesan masalah ini?
Placenta accreta susah dikenali sehinggalah semasa proses kelahiran.
Agak susah untuk mendiagnosis peringkat awal. Pengunaan imbasan
ultrabunyi (ultrasound) boleh menolong doktor untuk ragu-ragu atau
mengagak bahawa seseorang wanita itu mungkin mengalami placenta accreta.
Dengan itu mereka akan membuat imbasan ultrabunyi yang lebih lanjut
secara pengunaan imbasan ultrabunyi yang mempunyai colour doppler dan
seterusnya ujian radiologi yang lebih lanjut seperti pengunaan magnetic
resonant imaging (MRI) Bagaimanapun kedua-dua cara pengimejan di atas
tidak dapat mendiagnosis placenta accreta secara tepat.
Placenta accreta selalunya disyaki jika plasenta masih tidak dapat
dikeluarkan selepas 30 minit kelahiran bayi. Maka risiko untuk mendapat
pendarahan juga meningkat pada masa itu.
Apa jenis rawatan yang digunakan sekarang untuk masalah ini?
Tidak ada banyak perkara yang kita boleh lakukan. Kebiasaannya jika placenta accreta
didiagnosis sebelum kelahiran (mungkin oleh imbasan ultrabunyi) maka
kelahiran tersebut boleh dirancang. Kelahiran yang dirancang adalah
lebih baik kerana segala persiapan dari segi dewan bedah, bekalan darah,
doktor bius, doktor perbidanan dan alat-alat pembedahan yang perlu
dapat disediakan dengan lebih awal. Cuba bayangkan jika pembedahan ini
tidak dirancang dan tiba-tiba pendarahan yang banyak berlaku. Tiba-tiba
tabung darah pula tidak mempunyai bekalan darah yang cukup untuk
diberikan kepada wanita tersebut yang telah mengalami kehilangan darah
yang banyak. Keadaan ini adalah sangat kritikal dan kadang-kadang nyawa
pesakit juga boleh melayang.
Cara yang terbaik adalah pembedahan caesarean yang dirancang dan
teruskan dengan pembedahan histerektomi (pembuangan rahim) jika terpaksa
bagi kes yang telah didiagnosis sebelum kelahiran. Bagi kes wanita yang
masih ingin hamil pada masa hadapan, mungkin pembedahan pembuangan
plasenta sebanyak yang boleh diperlukan dan hanya tinggalkan sedikit
daripada bahagian plasenta yang melekat.
Selepas itu wanita tersebut perlu diberikan antibiotik dan mungkin
juga ubat methoxtrexate bagi mengecutkan sebahagian plasenta yang
ditinggalkan jika perlu. Antibiotik perlu diberikan kerana sebahagian
plasenta yang tinggal akan mengecut dan nekrotik. Keadaan ini
kadang-kadang boleh menyebabkan jangkitan kuman. Pada masa sama, wanita
ini perlu pemindahan darah yang banyak dan dirawat di hospital dalam
jangka masa lebih lama berbanding kelahiran normal.
Bolehkah rahim diselamatkan jika mengalami masalah ini?
Tak semestinya, ada yang boleh diselamatkan dan ada yang tidak.
Perkara ini bergantung kepada situasi dan keadaan wanita tersebut semasa
kelahiran. Doktor akan cuba sedaya upaya untuk menyelamatkan wanita dan
juga rahim wanita tersebut, tetapi jika keadaan tidak mengizinkan dan
nyawa wanita amat kritikal maka doktor terpaksa meneruskan dengan
pembedahan histerektomi.
No comments:
Post a Comment