klik atas nuffnang

Thursday, March 21, 2013

Risiko Sakit Belakang


ADA ketikanya kesakitan itu hadir seumpama tikaman mata pisau. Ataupun rasa sengal yang berpanjangan atau berulang-ulang di bahagian belakang tubuh. Ia amat meresahkan kita, khususnya apabila bekerja dalam keadaan duduk yang lama.

Anda mungkin menganggap kerusi atau sofa yang anda duduk itu sebagai tempat berehat tetapi bertukar sebaliknya apabila anda berasa sakit, letih dan stres.

Di pejabat, anda mungkin menghabiskan masa sehingga 10 jam duduk di hadapan komputer menyiapkan kerja. Itu belum lagi ditambah masa di dalam kereta jika tersangkut dalam kesesakan lalu lintas.

Di rumah pula, anda akan menonton rancangan televisyen kesukaan untuk tempoh dua jam. Ada pula yang duduk membaca buku kegemaran berjam-jam. Bayangkan dalam sehari anda duduk hampir 15 jam.

Tahukah anda duduk terlalu lama bukan sahaja menyebabkan tulang belakang anda mengalami masalah tetapi boleh meningkatkan risiko kematian?


Kajian yang dilakukan American Journal of Epidemiology mendapati duduk terlalu lama boleh meningkatkan risiko sakit belakang, atritis, obesiti, kerosakan postur badan, tekanan darah rendah dan penyakit jantung.
Dalam pada itu, sekumpulan penyelidik Australia mendapati individu yang menghabiskan masa selama 11 jam dengan duduk boleh meningkatkan risiko kematian sehingga 15 peratus.

Secara puratanya, individu dewasa menghabiskan 90 peratus waktu lapang mereka dengan duduk dan kurang separuh memenuhi saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) supaya melakukan aktiviti fizikal sederhana selama sekurang-kurangnya 150 minit setiap minggu.

Mereka yang tidak aktif atau duduk terlalu lama boleh menggandakan risiko kematian awal dalam tempoh tiga tahun berbanding mereka yang kurang duduk .

Sakit belakangPakar Perunding Pembedahan Ortopedik Tulang Belakang Pusat Perubatan Pakar Sri Kota Klang, Dr. John Ooi Tzen Chuong memberitahu, sakit belakang adalah kesan yang selalu dihadapi oleh mereka yang duduk terlalu lama.

Tambah Dr. John, kebanyakan kes sakit belakang di Malaysia berpunca daripada kerja yang memerlukan duduk terlalu lama seperti pemandu teksi, lori dan bas.

"Kebanyakan golongan ini mengadu sakit belakang dan saya mendapati mereka bekerja dengan cara duduk (memandu) dalam tempoh yang terlalu lama," ujarnya.

Katanya, 90 peratus sakit tulang belakang berpunca daripada kecederaan pada otot rangka yang kronik disebabkan tabiat posisi, ergonomik dan biomekanik.

Misalnya, sakit otot berpunca daripada postur duduk tidak betul dalam tempoh yang lama. Akibatnya, otot pada bahagian belakang berasa sakit disebabkan tekanan.

Bagi mereka yang bekerja di pejabat, keadaan kerusi dan meja perlu sesuai iaitu jangan terlalu rendah dan tinggi.

Sebaik-baiknya, mereka yang bekerja di pejabat mengambil inisiatif seperti melakukan regangan atau berdiri setiap dua jam.

"Kita boleh melakukan senaman ringan untuk kelegaan otot khususnya bahagian belakang. Pekerja-pekerja juga perlu diberi meja dan kerusi yang sesuai dengan ketinggian mereka ketika duduk.
Jika anda duduk terlalu rendah, tulang belakang akan membongkok, sebaliknya jika terlalu tinggi tulang belakang akan terlalu tegang. Sakit belakang yang teruk boleh membawa kepada masalah diska tergelincir," ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kesihatan/20130317/kn_01/Mengundang-pelbagai-penyakit#ixzz2OBnlunj6
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

klik tengah nuffnang

Di Taja Oleh