"Mula-mula hidung saya berair, kedua-dua mata bertukar merah selain batuk tidak henti-henti. Beberapa hari kemudian, gejala tersebut hilang tetapi kemudiannya, saya hilang upaya untuk menghidu," kata Diana Appleyard pada akhbar Daily Mail baru-baru ini.
Diana merupakan seorang penulis, penyiar dan wartawan bebas majalah dan suratkhabar di Britain.
Sejak dua tahun lalu, Diana menderita hilang deria bau akibat cuaca yang sangat sejuk di Britain.
"Saya tidak dapat makan makanan kegemaran malah mencium bau badan sendiri," katanya. Justeru, dia berjumpa dengan pakar hidung di Hospital Telinga, Hidung dan Tekak Diraja di London, Dr. Glenis Scadding.
Selepas beberapa ujian, wanita itu sebenarnya didapati menghidap masalah hilang deria bau iaitu persepsi bau yang lain daripada sumber sebenar.
"Saya diminta menghidu bau kopi serta herba yang kuat bagi merangsang deria bau," katanya.
Namun, Diana bertuah kerana derita itu hanya dilalui selama dua tahun sebelum dia dapat menikmati semula bau masakan ayam belanda kegemarannya.
Masalah yang dialami Diana bukanlah sesuatu yang pelik atau ganjil. Mungkin ada antara ahli keluarga atau rakan-rakan kita yang mengalami masalah yang sama.
Mereka tidak dapat menghidu bau makanan dan mungkin berada dalam keadaan bahaya kerana tidak dapat menghidu bau kebakaran atau gas dari dapur.
AnosmiaMenurut Pakar Telinga, Hidung dan Tekak Hospital Pantai Ampang, Dr. Raymond Tan Suan-Kuo, hilang deria bau secara keseluruhan dikenali sebagai anosmia.
Beliau menjelaskan, dalam hidung manusia terdapat banyak reseptor yang berperanan mengesan bau.
"Reseptor ini akan diaktifkan apabila terdapat rangsangan yang dibawa oleh udara yang disedut. Impuls elektrik ini akan terus bersambung sehingga ke bahagian otak bagi mentafsirkan dan menterjemah apakah jenis bau yang dihidu," katanya.
Menurut Dr. Raymond, deria bau terletak di bahagian bumbung rongga hidung.
Ia diselaputi oleh mukosa hidung yang sangat nipis. "Selalunya aroma yang dihidu dapat menyeberangi selaput ini dan sampai ke kawasan deria bau.
Selepas aroma itu dikesan oleh penghujung deria, mesej tentang aroma ini akan dihantar ke otak melalui saraf olfaktori iaitu saraf deria khusus bagi pembauan," katanya.
Selain anosmia, hiposmia dan parosmia merupakan masalah deria bau yang kerap berlaku.
Hiposmia ialah keadaan seseorang masih boleh menghidu tetapi berdasarkan sumber bau yang kuat seperti durian.
Parosmia pula persepsi bau yang lain daripada sumber sebenar, iaitu seseorang menghidu sesuatu yang majoriti orang lain tidak mempunyai persepsi sedemikian.
Punca Dr. Raymond menjelaskan, beberapa sebab seseorang boleh kehilangan deria bau.
Ia boleh disebabkan ketumbuhan polip, kerosakan saraf olfaktori disebabkan oleh kemalangan, barah otak atau barah di kawasan bumbung hidung, infeksi di rongga hidung atau sinusitis.
Selain itu, kekurangan zink dalam badan dan keracunan kadmium daripada telefon bimbit juga boleh menyebabkan penyakit berkenaan.
"Kemalangan yang melibatkan bahagian hidung, tulang pipi dan bahagian tengah muka juga boleh menyebabkan kerosakan saraf bau.
Ia menyebabkan kerosakan struktur dalam hidung seperti bengkok tulang septum (tulang tengah hidung) ataupun saraf olfaktori (mengesan bau)," ujarnya.
Kehilangan deria bau akibat kemalangan kekal selamanya jika jenis dan tahap kecederaan serius kepada bahagian badan tersebut.
Sinus juga boleh menyebabkan mukosa yang menyelaputi deria bau di rongga hidung menjadi bengkak.
Ini akan menghindarkan aroma yang dihidu tidak sampai ke deria tersebut, justeru mengurangkan rasa aroma yang dihidu.
Jika penyakit ini agak kronik, separuh deria bau akan hilang oleh kerana mukosa ini tidak dapat pulih ke keadaan asal atau akan mengambil masa yang lama untuk pulih.
Proses pemulihan mungkin dapat dipercepatkan lagi dengan penggunaan ubat-ubatan tertentu selepas pemeriksaan yang teliti dilakukan ke dalam rongga hidung dan sinus.
Rawatan Bagi mengetahui tahap keseriusan masalah deria bau seseorang, Dr Raymond menjelaskan, satu ujian akan dijalankan.
"Ujian itu bersifat subjektif dengan meminta pesakit memberitahu sama ada dia dapat menghidu sumber bau tertentu. Misalnya seseorang diminta menghidu lima jenis bau seperti kopi, campuran cengkih dan kayu manis atau herba-herba," jelasnya.
Tidak seperti ujian penyakit lain, ia sangat mudah dan tidak menyakitkan.
Ujian ini hanya memerlukan bukti adakah aduan bau itu wujud untuk tindakan selanjutnya.
Tambah Dr. Raymond, pemeriksaan endoskop (alat untuk memeriksa bahagian dalam organ yang berongga) dilakukan untuk melihat masalah hidung dengan jelas melalui monitor.
"Satu kamera kecil akan dimasukkan dalam rongga hidung untuk melihat sama ada polip dan sebagainya. Jika tiada sebarang penemuan diperolehi, pakar akan melakukan imbasan berkomputer atau Imbasan Resonan Magnetik (MRI) lebih berkesan," ujarnya.
Mengulas tentang rawatan penyakit ini, ia bergantung kepada punca penyakit.
Kebiasaannya, pakar akan mengkaji sejarah pesakit termasuk sejarah kemalangan, masalah alahan pada diri dan keluarga, serta sakit tulang pipi, dahi dan dalam hidung.
"Jika terdapat polip atau resdung pada hidung, kita boleh melakukan pembedahan. Pada hari ini terdapat kesan pembedahan minimum yang sangat mudah dan tiada kesan panjang untuk pesakit," ujarnya.
Dalam kebanyakan kes, masalah deria bau mungkin bersifat sementara. Rawatan akan diberikan setelah punca sebenar dikesan.
Ia tidak sama antara seorang dengan seorang yang lain.
Apa yang penting ialah kita dapat mengesan apa yang berlaku pada diri kita dan berjumpa dengan pakar jika mengesyaki sesuatu yang tidak kena dengan deria bau kita.
No comments:
Post a Comment