Masalah uri melekat atau dikenali sebagai placenta accreta tidak kerap berlaku. Keadaan ini berlaku apabila uri melekat di kawasan otot dinding rahim (uterus) pada lapisan endometrium. Placenta increta pula adalah keadaan yang lebih kritikal iaitu uri tertanam ke dalam otot dinding rahim atau lapisan miometrium.
Placenta percreta pula adalah keadaan uri tertanam menembusi keseluruhan dinding rahim ke permukaan luarnya sehingga lapisan serosa dan melibatkan organ yang berdekatan seperti pundi kencing dan rektum. Lebih kurang 75 ke 78 peratus daripada kes uri melekat adalah jenis placenta accreta. Lebih kurang 17 peratus lagi adalah masalah placenta increta. Selebihnya, iaitu lima ke tujuh peratus disebabkan oleh masalah placenta percreta.
Jarang
Masalah ini amat jarang sekali berlaku dan boleh didapati satu dalam 2,500 kehamilan. Kebiasaannya ia mengakibatkan pendarahan teruk semasa trimester ketiga kehamilan dan selalunya mengakibatkan kelahiran agak pramatang.
Bagi anak pula, risiko uri melekat boleh dikatakan tiada kerana ia berlaku setelah anak dilahirkan kecuali jika anak itu pramatang. Namun, bagi ibu, ia boleh menyebabkan kehilangan darah yang banyak (pendarahan melebihi 500 mililiter), rahim tidak atau lambat mengecut, penggunaan prosedur pengeluaran plasenta secara manual, pemberian ubat oksitosik dan bius, jangkitan rahim, pendermaan darah, pembedahan mengikat saluran darah arteri iliak interna malah jika terdesak, pembuangan rahim. Seelok-eloknya, elakkan prosedur berkaitan (seperti di atas) melainkan jika perlu.






