klik atas nuffnang

Thursday, February 10, 2011

Waspada di negara orang

BERADA di negara orang memberi suatu pengalaman yang menyeronokkan. Tidak kira sama ada melancong atau atas urusan kerja, pasti saat itu harus digunakan sepenuhnya untuk mengenali tempat dan budaya masyarakat di negara yang kita dikunjungi.

Namun sebagai manusia kita hanya mampu merancang, selebihnya kuasa Tuhan yang tiada siapa mampu menghalang. Jatuh sakit ketika berada di tempat orang tentunya mengundang pelbagai masalah.

Jika berada di negara maju, mungkin perkara itu boleh ditangani dengan mudah namun bagaimana pula andai berada di negara dunia ketiga?


Pakar Kesihatan Keluarga, Dr. Nani Draman dari Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian berkata, kunci utama dalam mengelakkan diri daripada sakit di negara yang akan dilawati adalah persediaan dan pengetahuan sebelum ke sana.

“Kita seharusnya mengambil tahu apakah penyakit-penyakit yang biasa terdapat di tempat yang bakal dilawati serta kebarangkalian untuk mendapat penyakit itu,” katanya.

Dengan pengetahuan tersebut kata beliau, sekurang-kurangnya kita boleh bersedia dengan pelbagai cara yang mampu mengurangkan risiko dijangkiti penyakit. Selain itu, sebelum bertolak pastinya kita terlebih dahulu mengetahui berapa lama akan berada di tempat tersebut dan aktiviti yang akan dilakukan di sana.

Antaranya kata beliau dengan mengambil vaksinasi yang bersesuaian. Mengambil perlindungan insurans kesihatan yang merangkumi tanggungan perbelanjaan ketika di luar negara katanya juga merupakan langkah yang bijak bagi mereka yang kerap ke luar negara.

Menurut Dr. Nani, jenis-jenis penyakit yang biasa ketika melancong ke suatu tempat yang mundur seperti Kemboja, Afrika dan pedalaman India adalah muntah-muntah dan cirit-birit yang dikenali sebagai traveler’s diarrhea, jangkitan kuman pada kulit, denggi, malaria, klorela, typhoid, jangkitan meningococcal, influenza dan tibi.

Imunisasi

“Imunisasi perlu diambil awal sebelum berangkat ke negara yang hendak dilawati kerana ia diberi dalam beberapa dos mengikut jadual. Ia perlu diambil sekurang-kurangnya tiga hingga enam bulan sebelum berangkat. Jika imunisasi diberi awal dan badan sempat menghasilkan antibodi maka imunisasi ini dapat bertahan sepanjang kita berada di negara yang dilawati,” katanya.

Walaupun begitu tegasnya, harus diingat, tidak semua imunisasi memberi 100 peratus perlindungan pada individu tersebut.

Jika kunjungan dirancang dalam tempoh yang singkat maka jadual imunisasi boleh diatur semula. Dalam kes ini menurutnya, beberapa vaksin akan diberi di tempat yang berbeza (bahu, punggung atau peha) pada hari yang sama.

Biasanya kata Dr. Nani, pengambilan imunisasi diberi berdasarkan kepada jenis penyakit yang biasa terdapat di negara yang bakal dilawati

Sebagai contoh imunisasi untuk penyakit demam kuning diwajibkan kepada pelancong yang ingin melawat Afrika dan Amerika Selatan disebabkan penyakit itu adalah endemik di negara tersebut.

Selain itu beberapa imunisasi lain seperti hepatitis A, hepatitis B, typhoid, meningoccal meningitis, polio, rabies, vaksin Japanese Encephalitis (JE) dan vaksin pneumococcal turut digalakkan.

“Kepada yang hendak mengerjakan haji, pihak berkuasa Arab Saudi mewajibkan imunisasi meningococcal dan influenza,” kata beliau.

Bagi negara yang mempunyai kes malaria yang tinggi katanya, pelancong perlu mengambil ubat sebelum, semasa dan selepas pulang dari sana.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

klik tengah nuffnang

Di Taja Oleh