klik atas nuffnang

Sunday, April 3, 2011

Selamatkah Botol Susu Anak Anda?

TIGA tahun lalu, Program Toksikologi Nasional Amerika Syarikat mengeluarkan laporan bahawa bahan kimia dikenali sebagai bisphenol A (BPA) mungkin menyebabkan masalah berkaitan hormon, termasuk baligh lebih awal di kalangan kanak-kanak dan ketumbuhan barah.

Kandungan bahan kimia BPA lazimnya ditemui pada botol susu bayi. Bertambah buruk lagi apabila botol air yang digunakan untuk minum ketika hamil juga mengandungi kimia ini.

Terdapat kebimbangan pendedahan terhadap BPA boleh memberi kesan kepada bayi dalam kandungan sama ada dari segi neurologi atau tingkah-laku. Bayi turut mengalami risiko yang sama jika kajian ini didapati benar.

Pertubuhan seperti Majlis Kimia Amerika mempertikaikan tidak ada bukti kuat bisphenol A memberi kesan buruk kepada manusia.

Ketika ini, Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) tidak bercadang mengharamkan BPA dalam plastik. Begitupun, Kanada telah mengambil langkah awal dengan melabelkan kimia itu berbahaya.

Namun di sebalik pendedahan tentang BPA, ibu dan bapa masih mempunyai pilihan untuk memilih menggunakan cawan atau botol susu untuk bayi ada.

Selain itu, terdapat botol susu bebas BPA di pasaran dan botol susu kaca sebagai alternatif.
Jalan yang lebih selamat untuk mengelak kontroversi berkaitan keselamatan penggunaan bekas plastik adalah dengan mengelak daripada menggunakannya.

Bukan saja keselamatan anak terjamin bahkan anda sendiri tidak perlu berasa risau.

Isu BPA bukan baru tetapi masih ada alternatif lain bagi mereka yang mahu mengekalkan botol lama.

Seorang pakar perubatan sebuah hospital persendirian di Lembah Klang memberitahu, botol susu polikarbonat telah sejak dahulu lagi. Sebagai seorang doktor, beliau sendiri belum pernah menerima atau merawat kes bayi atau kanak-kanak akibat polikarbonat.

“Dalam kehidupan seharian, kemungkinan botol-botol minuman palikarbonat yang kita gunakan turut terdedah dengan bahan BPA atau Bisphenol A.

‘‘Justeru itu, ia bukan satu persoalan yang baru tetapi semua pihak perlu melakukan kajian terperinci agar botol susu yang digunakan tidak memudaratkan kesihatan"

‘‘Adakah satu tahap nanti, ibu bapa perlu menggunakan botol kaca?,” ujar doktor tersebut yang mengutarakan pendapat ringkas.

Menurut Pegawai Perubatan Hospital Pantai Ampang, Dr. Hanafiah Bashirun, BPA adalah bahan kimia industri yang digunakan untuk membuat botol susu bayi polikarbonat agar botol tersebut keras dan lutsinar.

“Baru-baru ini kajian Universiti Malaya mendapati percampuran bahan BPA dengan kandungan botol susu berkenaan pada suhu tertentu memberi kesan kepada kesihatan bayi dan kanak-kanak.

‘‘BPA ini pula akan menyebabkan gangguan pada sistem hormon badan bayi sekali gus menjejaskan sistem tubuh badan bayi. Tetapi tiada sebarang kajian saintifik untuk mengesahkan fakta tersebut,” katanya.

Sebagai langkah berjaga-jaga, ibu bapa yang mampu dinasihatkan agar memilih botol susu bebas BPA, contohnya polypropylene (PP), polyethersulfone (PES), polyamides (PA).

Beliau memberitahu, botol susu yang mengandungi BPA biasanya bersifat keras dan lutsinar. Selain itu, perhatikan label kod identifikasi plastik pada bawah botol susu. Botol susu dengan BPA akan dilabel dengan ‘nombor 7', ‘nombor 7 dan PC’ atau ‘nombor 7 dan other’.

Bagi ibu bapa yang sedang menggunakan botol susu mengandungi BPA, adalah dinasihatkan agar menukar botol tersebut kepada botol ‘bebas BPA’.


Jika masih ingin menggunakan botol lama, Dr. Hanafiah menasihatkan agar mereka melakukan langkah berikut :-
  • Steril botol susu bayi mengikut arahan pengendalian pada label atau yang diberikan oleh pengeluar, jika ada.
  • Jika tiada panduan, pengguna perlu merendam botol susu polikarbonat dalam air yang mendidih selama lima hingga 10 minit.
  • Elak menggunakan air panas secara terus dalam botol susu bayi polikarbonat untuk membancuh susu.
  • Guna peralatan mencuci botol susu yang sesuai seperti span dan berus lembut bagi mengelak permukaan dalam menjadi rosak dan bercalar.
  • Sentiasa periksa permukaan dalam botol susu dan jika ada kesan calar atau rosak, ia perlu diganti.
  • Jika tiada kerosakan, botol susu perlu diganti setiap enam bulan.

Katanya, kesan penggunaan botol susu yang mengandungi BPA adalah bersifat jangka panjang.

“Ini disebabkan kesan sampingan pada sistem hormon. Adalah agak sukar untuk mengesannya dalam jangka masa pendek kerana kesannya masih tidak kelihatan. Perlu diingat, tidak ada situasi kecemasan yang timbul disebabkan kesan BPA tersebut,” ujar beliau.

Kebanyakan ibu sibuk dengan kerjaya dan penggunaan susu botol adalah sebagai alternatif bagi mereka yang ingin memberi susu ibu. Seperti yang kita sedia maklum, susu yang terbaik adalah susu ibu.

Berhubung dengan tumbesaran bayi, tiada sebarang kesan pada tumbesaran bagi kanak-kanak yang berumur lima tahun ke atas yang masih menyusu menggunakan susu botol.

Ini kerana zat nutrisi yang terdapat pada susu tersebut juga penting.

Bagaimanapun pada usia tersebut, digalakkan mereka di ajar menggunakan cawan atau botol biasa terutama jika mula memasuki zaman persekolahan.

“ Biasanya pihak hospital tidak akan memberitahu atau mencadangkan jenis-jenis botol susu tertentu yang harus digunakan. Ini kerana kebanyakan hospital menggalakkan penyusuan susu badan. Akan tetapi, pada masa ini, adalah amat digalakkan penggunaan susu botol yang mengandungi BPA dielakkan,” katanya.


Kenal pasti botol susu jenis polikarbonat 
  • Bersifat keras dan lutsinar yang mana ia mengandungi BPA.
  • Botol susu tersebut juga boleh dikenali melalui kod identifikasi plastik yang biasa didapati di bawah botol susu bayi.
  • Kod identifikasinya adalah nombor 7, nombor 7 dan PC, nombor 7 dan ‘other’.

  • Sementara itu, botol susu bayi yang bebas BPA biasanya dilabelkan dengan perkataan ‘BPA free’ atau bebas BPA.


Fakta Botol Susu Jenis Polikarbonat
  • Sehingga kini, tiada bukti menunjukkan penggunaan botol susu jenis polikarbonat yang mengandungi BPA selamat digunakan oleh bayi dan kanak-kanak.
  • Bisphenol A boleh menyebabkan gangguan kepada sistem hormon sekali gus mengganggu sistem fungsi tubuh
  • Sehingga tahun lepas, sebanyak 159 sampel botol susu bayi dianalisis oleh Kementerian Kesihatan dan 85% daripadanya dikesan mengandungi bahan BPA dalam julat 0 hingga 0.7 mg/kg hasil kesan migrasi dari botol berkenaan.
  • Kajian Universiti Malaya (UM) menunjukkan kadar migrasi yang berlaku meningkat sebanyak 7 kali ganda pada suhu 80 darjah Celcius berbanding suhu bilik 25 darjah Celcius.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

klik tengah nuffnang