Apatah lagi jika dilihat rangking di Asia Tenggara di mana Malaysia mendahului senarai.
Tentunya perkembangan negatif itu memberi kesan kepada pembangunan negara selain menyanggah matlamat kerajaan mahu mewujudkan rakyat yang sihat mental serta fizikal.
Peratusan dan angka telah terbentang.
Namun ada kalangan rakyat negara ini enggan mengakui hakikat tersebut. Penjagaan diri dan keluarga terutama dari sudut pemakanan terus diabaikan.
Maka lahirlah generasi muda obes, pada masa yang sama orang dewasa turut 'terjerumus'.
Dr. Natasha Ramli ketika ditanya perihal obesiti pantas memberitahu sering dikunjungi pesakit yang mengalami masalah berat badan keterlaluan. ''Jika ada 50 pesakit datang ke klinik, 10 mempunyai masalah berat badan,'' katanya ketika ditemui di Klinik Harmoni, Puchong Permai. Memandang berat masalah tersebut, beliau kini mengkelaskan obesiti sebagai penyakit yang mesti dirawat segera. Namun bagi Dr. Natasha, rawatan tidak akan berjaya tanpa kesungguhan serta kerjasama pesakit.
Atas sebab itu, beliau kini melihat proses merawat obesiti dalam konteks yang lebih luas. ''Jika saya didatangi seorang bapa berhadapan masalah berat badan, maka saya akan melihat juga keadaan anak-anaknya. Cara ini bagi membolehkan rawatan obesiti dijalankan secara holistik,'' katanya.
Dr. Natasha bersetuju bahawa faktor utama obesiti adalah kualiti pemakanan tidak dijaga sehingga makanan kaya gula dan karbohidrat memenuhi rak pasar raya, kantin sekolah/pejabat malah di luar tadika.
Trend masyarakat di negara ini pula tidak peka atau malas menyemak label kandungan menyebabkan pembelian produk makanan dilakukan secara semberono tanpa mengambil kira zat dan khasiat.
Malah, ada yang terlalu percaya pada dakwaan pengiklan produk sehingga menjadikan sesuatu jenis makanan keutamaan untuk anak-anak.
''Ibu bapa sukar membezakan antara makanan yang berkhasiat dengan makanan segera yang kurang zat makanan.
''Besar kemungkinan kesan iklan membuatkan ibu bapa berasakan makanan ringan yang tidak berkualiti sesuai dengan gaya hidup moden,'' katanya yang pernah berkhidmat di Hospital Kuala Lumpur.
Dr. Natasha juga melihat kalangan masyarakat menjadikan makan segera sebagai lambang status zaman moden dan seakan satu kebanggaan apabila melangkah masuk ke restoran makan segera yang mahal harganya. ''Oleh kerana kehidupan moden berjalan dengan pantas maka makanan juga perlu pantas disediakan. Maka kita disogokkan makanan segera dengan perasa tiruan dan timbunan kalori yang tinggi,'' katanya.
Beliau menarik perhatian tentang ciri-ciri makanan segera biar pun mungkin perkara itu telah diketahui ramai. Katanya, makanan segera biasanya mempunyai perisa yang menggiurkan lidah, cepat dimasak dan amat menyelerakan. Ini berkait rapat dengan proses bio chemical dalam tubuh badan dan tanpa disedari kita menjadi mangsa kegemukan.
Sambil melahirkan kebimbangan tentang obesiti di kalangan kanak-kanak yang disifatkan mangsa paling teraniaya, Dr. Natasha berkata, keadaan itu menyebabkan kanak-kanak yang sepatutnya cergas tetapi kehilangan stamina. Masyarakat pula menerima kanak-kanak obesiti sebagai comel dan mereka sering dimanjakan. Akibatnya sehingga dewasa mereka dibelenggu oleh obesiti melampau.
Sebab itu fokus utama ibu bapa dalam mengawal pemakanan kanak-kanak sepatutnya bermula apabila mula berjalan. Ini kerana kebiasaannya apabila mula berjalan, kanak-kanak akan mengalami penyusutan berat badan.
Berbeza dengan kanak-kanak obes yang tidak mampu bergerak cergas dan fizikal tubuhnya menghalang aktiviti cergas dan lasak.
''Keadaan ini menyebabkan pengumpulan lemak semakin meningkat. Ini adalah satu kitaran obesiti yang sukar dihentikan,'' katanya.
Pemerhatian Dr. Natasya mendapati kalangan kanak-kanak yang mempunyai berat badan berlebihan 70 peratus akan membesar dan menjadi obes. Sekiranya salah seorang daripada ibu bapanya obes kemungkinan 80 peratus daripada mereka akan menjadi obes.
Di kalangan kanak-kanak dan remaja sering berlaku diskriminasi sosial terhadap si gemuk menyebabkan mereka tidak selesa ke sekolah. Gelaran dan jolokan kawan-kawan membuat dia malu dan berasa tersisih.
''Ibu bapa harus peka dengan situasi begini dan perlu menyuntik semangat serta menggalakkan mereka mengurangkan berat badan.
''Seorang kanak kanak atau remaja yang kecewa dengan keadaan obes seringkali berputus asa. Bila perasaan putus asa, mereka bersikap tidak endah dan marah dengan teguran-teguran mengenai keadaan dirinya.
''Kita perlu peka dengan keadaan ini dan harus mengambil pendekatan psikologi yang betul agar niat untuk membantu golongan ini menguruskan badan tidak dianggap mengkritik atau menghina,'' katanya.
Di kalangan orang dewasa juga wujud diskriminasi terhadap si gemuk tetapi tidak begitu ketara. Orang dewasa lebih bijak menangani emosi jadi jarang timbul isu diskriminasi yang melampau. Namun terdapat juga isu-isu yang menyebabkan orang gemuk tidak menjadi pilihan utama dalam alam pekerjaan.
No comments:
Post a Comment