PADA bulan lalu, saya mengalami haid yang lama iaitu selama 24 hari yang mana pada tiga hari terakhir haid keluar dengan kadar yang banyak sehingga perlu menukar tuala wanita setiap dua jam sekali, kemudian ia berhenti.
Bulan ini haid saya datang seperti biasa iaitu selama lapan hari saja, namun selepas 18 hari daripada haid pertama, darah keluar dalam kadar sedikit yang berlarutan sehingga lima hari.
Saya amat bingung dengan keadaan tubuh saya ini. Untuk pengetahuan doktor, selepas haid yang panjang iaitu 24 hari itu, saya sudah berjumpa dengan doktor namun doktor hanya memberi saya antibiotik (Flagyl dan Levofloxacin). Saya melakukan pemeriksaan imbasan rahim dan hanya mendapati ruang rahim saya berangin.
Doktor meminta saya datang pada keesokan harinya untuk melakukan ‘flush’ pada saluran tiub fallopio (untuk menyah bakteria dan halangan yang mungkin menyekat pergerakan sperma ke dalam rahim) namun doktor tidak menyatakan sebab saya
didatangi haid dalam tempoh lama berkenaan.
Namun adakah masalah haid ini akan mengganggu usaha saya? Berat badan saya 65 kilogram dengan ketinggian 155 sentimeter. Adakah keadaan fizikal saya juga menyebabkan haid saya terganggu?
Jawapan :
APABILA wanita datang dengan masalah haid, kemungkinan kehamilan atau keguguran perlu diselidiki. Sukar untuk memahami bagaimana haid yang terlalu banyak
sedemikian (setiap dua jam terpaksa menukar tuala wanita) tiba-tiba terus berhenti atau kering keesokan harinya.
Begitu juga dengan istilah ruang rahim berangin, istilah yang saya dengar buat pertama kalinya. Saya juga tidak pasti dengan tujuan membersihkan tiub fallopio secara ‘flushing’ kerana jika benar ia disebabkan jangkitan bakteria, kuman ini akan terus ditolak lebih jauh ke dalam sehingga ke ruang dalam pelvis serta organ abdomino-pelvis yang lain dan menyebabkan jangkitan PID lebih dalam pula.
Prosedur ‘flushing’ juga bukan bertujuan serta tidak dijamin dapat membersihkan tiub fallopio tetapi ia dilakukan untuk menilai sama ada terdapat penyumbatan atau sekatan pada laluan ruang tiub terbabit. Cuma, secara tidak langsung, ia ‘diharapkan’ dapat memutuskan atau membuka sekatan atau jaringan perlekatan halus atau kecil di dalam ruang tiub itu.
Anda juga dinasihatkan berusaha mencapai berat badan ideal di antara 46 hingga 59.8 kilogram kerana berlebihan berat badan juga boleh mengganggu ovulasi (pengeluaran telur) yang kemudiannya memberikan gangguan haid.
Dulu, kajian mendapati hanya obes (apabila berat badan anda melebihi 72 kilogram iaitu BMI melebihi 29.9kg/m2) mengganggu kesuburan tetapi kajian lebih terkini mendapati berlebihan berat badan (BMI 25-29.9 kg/m2) juga boleh mengganggu ovulasi.
Pada masa sama, anda mungkin ingin mendapatkan rawatan doktor pakar kesuburan berhampiran sebelum dibebani lebih tekanan akibat kegagalan hamil kerana tekanan juga boleh memberikan gangguan ovulasi.
No comments:
Post a Comment