KENCING MANIS, tekanan darah tinggi, kegagalan buah pinggang dan sakit jantung — empat penyakit yang saling berkait rapat. Biasanya jika seseorang ada kencing manis, dia berisiko tinggi mengalami tiga penyakit lain, terutama jika gagal mengawal paras gula dalam darah.
Dianggarkan di seluruh dunia ada kira-kira 250 juta pesakit kencing manis dan catatan menunjukkan kebanyakannya meninggal dunia akibat komplikasi penyakit. Punca utama kematian di kalangan pesakit kencing manis ialah masalah jantung dan kegagalan buah pinggang.
Di Malaysia, jumlah pesakit kencing manis kini mencecah 1.2 juta orang dengan catatan 650,000 kes baru setiap tahun. Kebanyakan pesakit tidak sedar mereka menghidap penyakit kronik ini hinggalah mengalami pelbagai gejala yang menjejaskan kualiti hidup.
Pakar perubatan percaya kebanyakan pesakit menghidap kencing manis beberapa tahun sebelum penyakit dikesan. Yang membimbangkan, lebih lama seseorang itu menghidap kencing manis, lebih tinggi risiko untuk mendapat komplikasi penyakit.
Kencing manis adalah penyakit zaman moden paling nyata dan menjadi punca kematian kelima tertinggi di dunia. Dianggarkan satu kematian berlaku dalam setiap 10 saat akibat kencing manis.