Anda juga secara tiba-tiba dapat merasai makanan yang baru saja dimakan seakan-akan naik ke tekak atau ada cecair agak pahit terutama apabila anda membongkokkan badan.
Awalnya anda menganggap simptom itu disebabkan berpuasa, tetapi kemungkinan gejala yang dikenali sebagai pedih hulu hati atau gastro oesophageal reflux disease (GERD).
Ia juga menjadi salah satu ketidakselesaan yang sering dialami oleh wanita hamil akibat peningkatan paras hormon estrogen dan progesteron.
GERD atau juga dikenali Asid Reflux Disease merupakan satu keadaan yang mana kandungan asid di dalam perut masuk semula ke dalam saluran pemakanan (esofagus).
Persoalannya, meskipun ia hanyalah satu keadaan, apakah yang membimbangkan berhubung masalah pedih hulu hati ini?
“Penghasilan asid yang terlalu banyak dalam jangka masa yang lama menyebabkan seseorang individu mendapat GERD. Asid ini akan menyebabkan sel-sel antara saluran pemakanan dan perut lemah kerana asid telah menembusi masuk ke saluran pemakanan,” ujar Pakar Perubatan, Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC), Selangor, Dr. Abdul Malik Jamil Buhari.
Selain itu, sfinkter iaitu injap atau otot-otot khas yang juga dikenali sebagai lower esophageal sphincter (LES) di penghujung saluran pemakanan tidak berfungsi dengan baik.
LES akan terbuka ketika makanan ditelan untuk dihantar terus ke dalam perut.
Otot-otot ini akan tertutup semula bagi mengelakkan makanan atau asid dalam perut yang tertolak semula ke dalam saluran pemakanan.
Otot LES yang lemah atau gagal berfungsi dengan baik menyebabkan asid perut naik mengakibatkan individu terbabit mengalami pedih hulu hati.
Terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi tahap keseriusan dan kekerapan pedih hulu hati iaitu keupayaan otot-otot LES untuk terbuka dan tertutup dengan sempurna.
Gastrik
“Gastrik juga menjadi punca utama pedih ulu hati kerana berlakunya ulser dalam perut. Keadaan lebih rumit apabila mereka yang berpuasa menghidap gastrik.
“Sekiranya, pesakit tidak menghidap gastrik, berpuasa tidak akan menyebabkan GERD yang serius. Malah ia baik untuk membantu merehatkan fungsi sistem perut,” katanya.
Dalam pada itu, ramai yang beranggapan makanan punca gastrik dan mereka tidak tahu bahawa 80 peratus punca gastrik berlaku kerana bakteria helicobacter pylori sudah lama berada dalam perut.
Bakteria ini diperolehi daripada tanah yang mungkin diperoleh oleh seseorang apabila bermain di tanah semasa kecil.
Lama-kelamaan bakteria bertindak balas dengan asid di dalam perut sehingga menyebabkan gastrik. Secara tidak langsung, gastrik boleh menyebabkan rasa pedih ulu hati.
Rawatan GERD
Dr . Abdul Malik menasihatkan orang ramai berunding dengan pakar kesihatan jika mempunyai simptom-simptom GERD untuk menentukan sama ada anda memerlukan ubat.
Ini termasuklah kaedah ubat-ubatan yang dapat mengekang asid atau mengetatkan sempadan antara perut dan saluran pemakanan melalui kaedah pembedahan.
“Meskipun ia tidak dapat dicegah, namun risikonya boleh dikurangkan dengan mengamalkan gaya hidup yang sihat,” katanya.
Ini termasuklah mengurangkan jumlah makanan, masa atau jenis makanan yang dimakan.
Mereka yang mempunyai tanda GERD khususnya yang berpunca daripada gastrik perlu mengurangkan pengambilan kopi dan teh. Kedua-dua minuman ini akan menyebabkan LES lemah dan mudah terbuka.
Selain itu, kurangkan makanan bergoreng atau berlemak kerana ia lambat dicernakan berbanding karbohidrat dan protein.
Makanan yang tersimpan akan menghasilkan lebih banyak asid dalam perut.
No comments:
Post a Comment