Bukan berakhir hidup
KISAH kecekalan pesakit kanser payudara memang mengagumkan dan tidak hairan jika ia terus mendapat perhatian walaupun selalu dipaparkan. Lantaran kerap diceritakan, ada sesetengah pihak menganggap ia sebagai kisah biasa yang tidak lagi memberi kesan di hati mereka.Memang ia sebahagian kisah masyarakat kita. Sedihnya, walaupun kerap disiarkan, ia tidak mampu mengekang jumlah pesakit.
Kes kanser payudara di negara kita semakin bertambah iaitu daripada 4,048 orang pada 2000 kepada 6,991 kes (2004) dan 8,632 kes (2008) yang mewakili 13 peratus daripada keseluruhan kes kanser di seluruh negara.
Di negara kita, kanser payudara menjadi kanser utama meragut nyawa wanita. Pendaftar Kanser Kebangsaan melaporkan satu dalam 20 wanita di negara ini berhadapan penyakit berbahaya itu.
Lebih menyedihkan, kebanyakannya lewat dikesan kerana ramai yang mengambil sikap tidak endah apabila disuruh menjalani pemeriksaan.
Kajian Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara (LPPKN) pada 2004 menunjukkan, hanya 53 peratus wanita Malaysia menjalani pemeriksaan klinikal payudara dan hanya 50 peratus pernah menjalani ujian lumuran Pap (Pap smear) iaitu ujian saringan bagi mengesan kanser serviks peringkat awal).
Namun kisah yang ‘biasa’ akan bertukar jadi ‘tidak biasa’ apabila anda atau ahli keluarga menghidap penyakit ini. Walaupun ia dianggap ‘biasa’ namun tidak ramai yang dapat menerima pengesahan doktor dengan hati terbuka.
Jururawat Penjagaan Payudara Hospital Assunta, Low Loo Yee, berkata biasanya selepas pesakit diberitahu menghidap kanser payudara, mereka akan dirujuk kepada jururawat khas untuk diberikan maklumat lanjut mengenai penyakit, rawatan, pembedahan, persediaan pembedahan dan penjagaan selepas pembedahan.
Biasanya perjumpaan ini diadakan selepas pesakit bertenang.
“Bukan doktor tidak mahu meluangkan masa untuk bersama pesakit tetapi dalam kebanyakan keadaan, pesakit lebih senang berbincang dengan jururawat perempuan.
“Penerimaan pesakit terhadap pengesahan kanser payudara berbeza-beza, bergantung kepada latar belakang pendidikan.
“Biasanya pesakit yang berpendidikan tinggi dan mempunyai gejala akan lebih mudah menerima hakikat.
“Begitu juga jika pesakit ditemani suami atau adik beradik ketika berjumpa doktor.
“Sokongan daripada suami dan keluarga itu sedikit sebanyak dapat menenangkan pesakit.
“Pesakit muda dalam lingkungan 30-an lebih sukar menerima hakikat apatah lagi jika mereka belum berkahwin, tiada sokongan dan datang ke hospital sendirian.
“Bagaimanapun, ada juga pasangan yang tidak mahu menerima pandangan pakar perubatan khususnya dari segi rawatan.
“Kos rawatan kanser payudara memang tinggi dan inilah yang menyebabkan ada pesakit menuduh kami cuba mengaut keuntungan dan memilih untuk mencuba rawatan alternatif.
“Pesakit berhak memilih rawatan atau di mana mahu mendapatkan rawatan. Tugas kami di hospital untuk memberitahu pilihan yang ada.
“Biasanya pesakit yang memilih untuk menjalani rawatan alternatif akan datang balik tetapi keadaan pesakit ketika itu sudah bertambah teruk,” katanya.
No comments:
Post a Comment