klik atas nuffnang

Monday, October 3, 2011

Persediaan menerima / menjalani rawatan payu dara

Persediaan terima rawatan

Tidak kira bagaimana sedih pun, ada satu perkara penting yang perlu kita ingat iaitu kanser payudara adalah penyakit yang mudah berkembang dan merebak.

Anda beruntung jika ketumbuhan anda disahkan jenis benigna (boleh membesar tetapi tidak merebak).

Bagaimanapun, ia masih perlu dirawat dan wanita yang ada ketumbuhan benigna berisiko tinggi mendapat kanser payudara.

Prosedur rawatan kanser termasuk kanser payudara umumnya membabitkan pembedahan.

Keperluan untuk kemoterapi atau radioterapi bergantung kepada keadaan setiap pesakit.

Justeru, ada baiknya jika kita mengambil tahu serba sedikit mengenai persediaan sebelum menjalani rawatan. Antara pertanyaan yang kerap diajukan ialah:

1. Berapa lama tempoh pembedahan?

Tempohnya bergantung kepada jenis pembedahan yang diperlukan. Contohnya jika pembedahan memerlukan bukaan besar dan membabitkan bahagian ketiak, ia mungkin mengambil masa kira-kira sejam.

Pembedahan pembuangan payudara (mastektomi) dan membabitkan bahagian ketiak serta pemasangan untuk pod kemo (saluran memasukkan ubat kemoterapi) biasanya mengambil masa dua jam.

2. Berapa lama pesakit perlu mengambil cuti sakit?

Tempohnya tertakluk kepada sama ada pesakit memerlukan kemoterapi atau radioterapi selepas pembedahan.

Jika pesakit hanya perlukan pembedahan, biasanya dia perlu mengambil cuti sakit selama empat minggu untuk pulih. Sekiranya rawatan lain diperlukan, pakar onkologi atau radioterapi akan membuat pelan cuti untuk pesakit.

3. Adakah pesakit perlu memberitahu ketua atau rakan dia menghidap kanser payudara?

Terpulang kepada pesakit sendiri. Tiada paksaan. Sesetengah wanita memilih untuk merahsiakannya kerana bimbang ia boleh menjejaskan perkembangan kerjaya mereka. Sesetengah wanita tidak kisah dan berasa perlu untuk kawan-kawan tahu mengenai keadaannya.

Apapun pilihan anda, yang penting anda mesti dalam keadaan tenang dan tabah ketika memberitahu penyakit anda kepada kawan-kawan.

Bimbang jika ada orang beranggapan anda mencari simpati atau cuba ‘lari’ daripada bebanan kerja.

Ada pakar berpendapat ia lebih baik diberitahu kepada orang yang rapat termasuk keluarga dan rakan-rakan kerana sebagai pesakit, anda sangat memerlukan sokongan.

Sokongan ini bukan saja daripada segi moral malah dalam bentuk fizikal, khususnya jika pesakit ada anak kecil atau yang masih bersekolah.

Bagaimanapun, memang ada pesakit meminta doktor merahsiakan penyakit mereka kerana mahu memaklumkan sendiri kepada keluarga apabila sudah bersedia dan tiba masa yang difikirkan sesuai.

4. Adakah pesakit masih boleh bekerja selepas pembedahan? Atau perlu berhenti kerja?

Tidak perlu berhenti kerja. Malah pesakit digalakkan untuk terus bekerja selepas luka pembedahan sembuh supaya mereka tidak terlalu memikirkan soal penyakit yang dihidapi.

5. Adakah pesakit memerlukan bantuan selepas pembedahan? Jika ya, berapa lama?

Anda mungkin tidak memerlukan bantuan selepas pembedahan kerana anda boleh berdikari untuk menguruskan diri sendiri.

Bagaimanapun, keadaan setiap pesakit mungkin tidak sama. Bagaimanapun, ada beberapa perkara yang perlukan bantuan terutama soal pengurusan anak, kerja rumah, memasak dan memandu.

Lebih baik jika ada seseorang boleh menghulurkan bantuan di rumah terutama dalam tempoh tiga hingga empat minggu pertama selepas pembedahan supaya pesakit dapat menumpukan perhatian kepada proses pemulihan.


Jangkaan selepas pembedahan

Selepas sedar daripada pembedahan, anda akan dapati luka pembedahan dibalut dan ada tiub yang dimasukkan ke bahagian dibedah tadi untuk mengeluarkan cecair berlebihan dari badan. Ini penting supaya luka pembedahan itu cepat sembuh.

Anda juga mungkin terkejut apabila mendapati banyak tisu yang dibuang dari kawasan payudara anda. Nodus limfa yang terletak di bawah ketiak pada belah yang sama biasanya turut dibuang dalam pembedahan bagi memastikan pelan rawatan anda.

Ada wanita bimbang penampilannya akan berbeza selepas pembedahan. Sebenarnya tiada siapa tahu anda sudah hilang sebelah atau sebahagian daripada payudara anda kecuali anda sendiri yang memberitahu mereka.

Jadi anda boleh jalani hidup seperti biasa tanpa perlu risau pandangan orang lain.

Rasa sedih akibat hilang sebahagian, sebelah atau kedua-dua belah payudara adalah perkara normal. Ia dirasai semua pesakit kanser payudara. Anda harus ingat, payudara hanyalah sebahagian daripada anda dan anda masih lagi orang yang sama seperti sebelum pembedahan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

klik tengah nuffnang