Masa berkualiti dengan anak terlalu terhad disebabkan tuntutan kerja yang tidak pernah surut. Mungkin anda hanya bertemu dan bermesra dengan anak ketika dia hendak ke sekolah di waktu pagi dan pada hujung minggu.
Disebabkan kesibukan, keseronokan memberi fokus sepenuhnya pada tanggungjawab dan kepuasan dalam kerjaya, tumpuan terhadap pembelajaran anak kadangkala terabai. Itulah harga yang perlu dibayar seseorang demi melihat keluarga tersayang hidup dalam keadaan selesa dan bahagia.
Ketika usia muda, tenaga yang masih kuat, tubuh sihat dan otak cergas serta kaya dengan idea dimanfaatkan sepenuhnya untuk meningkatkan kerjaya. Inilah masanya untuk anda berusaha mencari duit lebih bagi memiliki keperluan hidup.
Bagaimanapun, pada tahun-tahun akhir perkhidmatan sebagai pekerja, anda mula membayangkan perkara indah dan menyenangkan yang akan dilakukan selepas bersara.
Waktu itu, fikiran sudah lega kerana segala perkara sudah dirancang dengan teliti seperti dana persaraan, pendidikan universiti untuk anak dan bayaran bagi pinjaman rumah dan kereta dibayar sepenuhnya.
Selepas bekerja keras sepanjang hidup, wang simpanan yang disimpan bertahun-tahun pastinya mahu dinikmati dengan bercuti ke luar negara, menyimpan sedikit untuk tabungan persaraan serta memastikan kestabilan kewangan tanpa perlu bergantung kepada keluarga mahupun anak yang dewasa.
Dalam menangani tekanan hidup di abad ke-21 khususnya tekanan kerja, hidup, kenaikan kos sara diri dan inflasi, kebimbangan utama ialah penyakit dan masalah kesihatan yang mungkin dihadapi apabila umur kian meningkat.
Tambahan pula, kos perubatan semakin meningkat setiap tahun dan ini membuatkan rawatan perubatan semakin membebankan. Kajian mendapati, antara alasan seseorang itu sukar menjelaskan hutang ialah perbelanjaan perubatan yang tinggi (26 peratus). Dianggarkan 24 peratus warga Malaysia tidak mempunyai perancangan kewangan yang baik.
Pastinya anda tidak mahu perkara yang tidak diduga mengubah seluruh kehidupan anda. Wang disimpan selama bertahun-tahun yang sepatutnya digunakan pada usia emas, tiba-tiba menyusut dengan mudah disebabkan anda terpaksa menjelaskan bil hospital akibat penyakit kronik yang tidak dijangka mahupun kemalangan. Kebanyakan kita juga pastinya tidak mahu membebankan keluarga apabila sakit.
Di Amerika Syarikat, lebih 1.3 juta kes kanser baru didiagnosis setiap tahun, setiap 29 saat seorang mengalami masalah koronari dan setiap 45 minit, seorang mengalami strok.
Kos perubatan untuk penyakit kronik bukan murah. Rawatan kanser boleh menjangkau RM300,000 sementara masalah kegagalan buah pinggang pula memerlukan sekurang-kurangnya RM100,000.
Sebelum ini, penyakit kritikal biasanya dikaitkan dengan kematian, tetapi seiring kemajuan perubatan, ia boleh dirawat. Persoalannya, adakah kita memiliki akses kepada dana yang mencukupi untuk mendapatkan rawatan terbabit? Satu fakta yang ingin dikongsi bersama ialah 828,399 warga Malaysia dimasukkan ke hospital swasta pada 2009. Sementara itu, daripada kajian dijalankan, hanya 29 peratus warga Malaysia yakin pada kemampuan mereka untuk mengekalkan jagaan kesihatan selepas bersara.
Menurutnya, kebanyakan individu tahu kepentingan mengambil pelan perubatan tetapi ada sebilangan yang bersikap tidak ambil peduli.
“Walaupun berkemampuan daripada segi kewangan, ada yang beranggapan tidak perlu mengambil pelan perubatan kerana bagi mereka, sekarang mereka sihat dan mengambil masa lama untuk mendapat sesuatu penyakit.
“Apapun jika ditimpa sakit, mereka terpaksa meminjam sana sini dan kalau kosnya puluhan ribu ringgit, pasti perit untuk menjelaskan bayaran itu.
“Mengambil pelan perubatan sama konsepnya dengan membayar insurans kenderaan iaitu perlu membayar terlebih dulu sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan, khususnya kemalangan di jalan raya,"
No comments:
Post a Comment