SUDAH menjadi perkara biasa jika bayi muntah
sedikit selepas makan. Ini dikenali sebagai refluks gastroesofageal
(GER) dan biasanya tidak memerlukan sebarang rawatan.
GER adalah masalah esofageal dan satu proses kandungan gastrik
mengalir kembali ke dalam esofagus disebabkan oleh pengenduran sementara
gelangan gentian otot di bahagian bawah esofagus (dipanggil bahagian
bawah sfinkter esofageal).
Kenapa berlakunya GER? Apabila anak anda makan atau
minum, bahan-bahan yang ditelan akan mengalir dari tekak ke perut
melalui saluran makanan yang juga dikenali sebagai esofagus. Sebaik
sahaja bahan-bahan ini berada di dalam perut, bahagian bawah sfinkter
esofageal akan menegang untuk mencegah makanan atau minuman daripada
mengalir kembali ke dalam esofagus. Jika sfinkter ini tidak berfungsi
dengan baik, atau mengendur secara tidak normal atau menjadi lemah, maka
asid perut boleh mengalir semula ke dalam esofagus.
GER biasanya akan hilang disebabkan oleh tarikan graviti, peristalsis dan peneutralan asid melalui penelanan air liur.
GERDGER yang berlebihan boleh menyebabkan
komplikasi. Jika ini berlaku, kanak-kanak tersebut boleh dikatakan
mengalami penyakit refluks gastroesofageal (GERD) iaitu satu penyakit
penghadaman yang kronik.
Perkara ini terjadi kerana asid perut atau kadang-kadang air hempedu,
mengalir kembali ke dalam esofagus. Ini akan mengakibatkan
gejala-gejala seperti sakit perut dan pedih ulu hati yang kedua-duanya
adalah masalah penghadaman lazim.
Faktor-faktor yang boleh memburukkan lagi kesan GER termasuk
kekerapan dan tempoh pendedahan daripada episod GER, keasidan asid
perut, dan kerentanan esofagus terhadap kerosakan. Dalam kes GER yang
berterusan atau berlebihan, lapisan esofagus boleh menjadi rengsa dan
rosak dengan teruknya.
Jika gejala ini berterusan, dapatkan rawatan segera untuk mengelakkan
masalah lain seperti pendarahan, parut, penyempitan esofagus yang
abnormal dan masalah pernafasan.
Artikel Penuh: © Utusan Melayu (M) Bhd