“Jangan sampai terlebih ayam, ikan, daging, hati dan soya. Semuanya kena hati-hati...”
“Jika dah semua tak boleh, habis saya nak makan apa?” Keluhan yang sering ditimbulkan kebanyakan pesakit yang menjalani rawatan dialisis.
Kebanyakan pesakit mengakui mereka lebih ditekankan apa yang tidak boleh dimakan berbanding apa yang boleh dimakan sehingga mendatangkan tekanan.
Seharusnya panduan pemakanan yang sihat boleh membawa keseronokan kepada pesakit dialisis untuk pengurusan pemakanan dan diet mereka.
Atas keprihatinan itu, Hospital Kuala Lumpur (HKL) menerbitkan buku Resipi Pesakit Dialisis 2013 yang pertama seumpamanya untuk pesakit dialisis, baru-baru ini.
“Isi kandungan buku ini membimbing cara pemakanan sihat dan gaya hidup sempurna.
“Buku itu diharap membantu meningkatkan pemahaman dan kepentingan pengurusan pemakanan kepada pesakit dialisis,” kata Ketua Jabatan Nefrologi HKL dan Ketua Perkhidmatan Nefrologi bagi Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Ghazali Ahmad.
Di Malaysia, penyakit buah pinggang kronik adalah masalah kesihatan yang serius yang memerlukan rawatan dialisis atau pemindahan buah pinggang agar mereka boleh meneruskan kehidupan.
Statistik HKL mendapati negara mempunyai 25,688 pesakit dialisis dan 1,884 penerima buah pinggang berdaftar pada 2011.
Penyakit buah pinggang kronik mempengaruhi semua aspek kehidupan pesakit dan anggota keluarga terdekat.
Kebanyakan orang menganggap hanya rawatan dialisis dan pemindahan buah pinggang jalan terbaik bagi mengawal penyakit ini dan mengabaikan pengurusan pemakanan dan diet.
Masalah pesakit dialisis ialah berkaitan pengambilan makanan dan minuman berlebihan atau tidak sesuai dengan penyakit mereka.
Katanya, jumlah penghidap penyakit buah pinggang kronik (CKD) kian bertambah dan membimbangkan jika orang ramai tidak mengambil sebarang langkah pencegahan awal.
Fungsi buah pinggang ialah menapis bahan buangan dalam badan, namun bagi pesakit CKD, peranannya terhad.
Oleh itu, kandungan nutrien makanan yang dimakan pesakit perlu diberi pertimbangan khusus.
Apabila buah pinggang gagal berfungsi, pesakit yang menjalani dialisis perlulah mengawal kandungan air dan garam bagi mengelak bengkak di kaki dan paru-paru berair.
Buku resipi ini menyediakan panduan masakan sesuai untuk pesakit buah pinggang berdasarkan cadangan pakar pemakanan.
“Pesakit dialisis perlu mengawasi diet mereka di samping mengetahui jumlah protein, kalori, cecair, vitamin dan mineral yang diambil setiap hari,” katanya.
Pakar Pemakanan HKL (Pakar Diet), Datin Nor Sharita Mohd Saad berkata, buku itu bukan saja memaparkan pelbagai jenis hidangan dan masakan yang boleh dicuba pesakit, malah menyatakan jumlah dan sukatan yang sesuai untuk satu hidangan empat orang.
Turut disediakan panduan sukatan yang betul mengikut sukatan peralatan yang sedia ada di dapur biasa (ukuran rumah tangga).
Jika panduan itu diikuti dengan betul, pesakit dialisis akan dapat menikmati masakan seperti asam pedas, daging masak halia, ayam goreng berempah, nasi goreng Cina, asam laksa, cendol, samosa dan karipap.
“Resipi yang tersedia dalam buku ini adalah hasil yang diubah suai berdasarkan komen pesakit dan pegawai perubatan.
“Resipi yang dimuatkan mematuhi jumlah garam (sodium) yang dibenarkan selain mengandungi analisis makanan yang menunjukkan jumlah kandungan kalori, protein, potasium dan fostat dalam makanan itu,” katanya.
Cara penyediaannya mudah dan boleh dimasak sama ada oleh pesakit atau penjaga mereka.
Buku yang diterbitkan Jabatan Nefrologi dan Jabatan Dietetik & Sajian HKL dengan usaha sama AbbVie Sdn Bhd itu akan di terjemahkan ke bahasa Inggeris, Tamil dan Mandarin.
Layari laman web, www.hkl.gov.my untuk maklumat lanjut. - Bernama
No comments:
Post a Comment