NAMA penyakit ini biasa didengar tetapi ramai yang masih tidak ambil endah mengenainya. Mungkin kerana ia tidak sekritikal penyakit jantung atau kanser yang diketahui umum boleh membawa maut.
Namun, batu karang jangan diambil mudah kerana ia boleh menjejaskan aktiviti seharian.
Batu karang merujuk keadaan yang mana wujud sisa mineral halus seakan-akan batu kristal di sepanjang saluran kencing. Saluran ini merangkumi organ seperti buah pinggang, ureter, pundi kencing dan urethra yang berfungsi menapis darah untuk membuang kekotoran yang kemudian disingkir dari tubuh.

Pembentukan batu biasanya bermula di buah pinggang sebelum bergerak ke bahagian lain saluran kencing hingga tersumbat di tiub yang lebih kecil seperti batu pundi, batu uriterik dan batu buah pinggang menyebabkan pesakit berasa sakit yang teramat sangat.
Perunding Gastroenterologi, Pusat Perubatan Prince Court (PCMC), Datuk Dr Ryan Ponnudurai berkata, penyakit batu karang lebih mudah menyerang lelaki berbanding wanita.
Ini disebabkan lelaki memiliki hormon testosteron yang tinggi, bagaimanapun warga emas dan kanak-kanak jarang mendapat penyakit ini memandangkan hormon testosteron mereka rendah.