BERDASARKAN kajian didapati ancaman besar terhadap kesihatan wanita
sebenarnya boleh dicegah. Dalam bab menjaga kesihatan diri sendiri,
tiada orang lain yang lebih layak untuk memikul tanggungjawab ini.
Mungkin ramai tidak sedar, menjaga kesihatan yang menjadi harta
paling berharga dalam hidup kita adalah satu amanah kerana ia
membolehkan kita menjalankan tugasan harian termasuk bekerja,
menguruskan rumah tangga dan menjalankan ibadat dengan lebih baik.
Memang tidak dapat dinafikan, wanita lebih peka dalam menjaga
kesihatan. Namun ia perlu dipertingkatkan kerana tugas dan tanggungjawab
wanita kini lebih besar dan mencabar.
Berdasarkan statistik daripada Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit
(CDC), ada tujuh ancaman utama kepada kesihatan wanita. Mari kita
sama-sama belajar bersam
Keluarga Avail cara untuk mengurangkan risiko ancaman ini.
1. Sakit jantung - Sakit jantung bukan penyakit lelaki saja
walaupun jarang kedengaran wanita diserang penyakit ini. Sebelum
menopaus, hormon wanita melindungi kita daripada serangan penyakit
jantung tetapi selepas putus haid, risiko untuk mendapat penyakit ini
sama seperti lelaki.
Jadi ambillah langkah pencegahan dari sekarang supaya kita tidak
termasuk dalam statistik rakyat Malaysia yang mendapat serangan jantung.
Antara yang boleh dilakukan ialah:
Berhenti merokok jika anda merokok. Ada banyak kaedah
terkini yang boleh membantu anda berhenti. Pergilah ke mana-mana klinik
berhenti merokok atau minta doktor rujukkan anda kepada pakar yang
sentiasa bersedia membantu anda berhenti merokok.
Amalkan pemakanan sihat - Lebihkan pengambilan
sayur-sayuran, buah-buahan, kurangkan makanan mengandungi banyak lemak,
gula dan garam.
Kawal penyakit anda dengan baik terutama tekanan darah tinggi, masalah kolesterol tinggi dan kencing manis.
Bersenam - Ini sangat penting. Bersenamlah
sekurang-kurangnya 20 hingga 30 minit sehari, empat atau lima kali
seminggu. Jika dapat dilakukan setiap hari, kesannya lebih baik.
Kekalkan berat badan yang sihat. Penambahan berat badan akan meningkatkan risiko diserang penyakit jantung.
Hadkan pengambilan alkohol, terlalu banyak alkohol akan meningkatkan tekanan darah, namun lebih baik jika ia dihentikan terus.
Tangani tekanan. Luangkan masa untuk belajar kaedah menguruskan tekanan dengan cara yang sihat dan menggembirakan.
2. Kanser - Walaupun secara umumnya punca sebenar kanser
tidak diketahui tetapi ada pelbagai cara yang boleh diambil untuk
mengurangkan risikonya.
Jangan merokok. Merokok adalah faktor penting yang boleh
mendekatkan anda dengan kanser. Pada masa sama, cuba elakkan menjadi
perokok sekunder (tidak merokok tetapi kerap terdedah kepada asap
rokok).
Kerap bersenam. Pilih senaman yang anda suka. Ia bukan
saja boleh menjadi terapi minda malah mampu mengawal berat badan. Ada
pakar berkata penurunan berat badan secara tidak langsung mengurangkan
risiko kanser.
Makan banyak buah-buahan dan sayur-sayuran.
Lindungi kulit daripada cahaya matahari yang terik.
Menyusukan anak. Penyusuan badan dapat membantu mengurangkan risiko kanser payudara.
Ambil langkah pencegahan dengan menjalani ujian pemeriksaan seperti mamogram dan lumuran Pap.
3. Strok - Ada sesetengah faktor risiko strok tidak boleh
dikawal seperti sejarah keluarga, umur dan keturunan. Namun faktor lain
boleh dikawal contohnya:
Kawal penyakit anda. Jika anda ada masalah tekanan darah
tinggi atau kolesterol tinggi, ambil ubat mengikut jadual. Jika ada
kencing manis, pastikan paras gula berada dalam julat normal.
Jangan merokok. Jika anda merokok, berusaha untuk berhenti.
Amalkan gaya hidup sihat dengan mengambil makanan seimbang dan paling penting - kerap bersenam.
Pelajari tanda awal strok dan kongsi maklumat ini dengan
ahli keluarga serta rakan baik. Minta ahli keluarga dan rakan segera
membawa anda ke hospital jika anda menunjukkan tanda strok.
4. Penyakit saluran pernafasan bawah kronik - Dalam erti kata
lain, ada masalah dengan paru-paru anda. Ini termasuk bronkitis dan
emfisema. Jadi, ambillah langkah untuk menjaga kesihatan paru-paru
dengan:
Tidak merokok
Hindari tempat yang banyak pencemaran (kimia dan udara)
Cegah jangkitan saluran pernafasan dengan kaedah paling mudah - mencuci tangan dengan baik.
5. Penyakit Alzheimer - Meskipun tiada kaedah khusus untuk mencegahnya, tetapi pakar sependapat risikonya boleh dikurangkan melalui:
Kawal penyakit anda. Penyakit seperti tekanan darah
tinggi, paras kolesterol tinggi, sakit jantung, strok dan kencing manis
dikatakan boleh meningkatkan risiko mendapat Alzheimer.
Jangan merokok. Sesetengah kajian mendapati ada kaitan antara Alzheimer dengan rokok.
Bersenam, tidak kira apa bentuk senaman pun, semuanya boleh memberi manfaat.
Jaga kesihatan minda dan sosial dengan menyertai aktiviti
kemasyarakatan, membaca, melakukan perkara yang mencabar fikiran
termasuk mempelajari benda baru.
6. Kemalangan - Kemalangan jalan raya juga disenaraikan
sebagai ancaman utama kepada kesihatan wanita. Patuhi peraturan dan
undang-undang jalan raya serta sentiasa berhati-hati ketika berada di
jalan raya, sama ada anda memandu atau menggunakan kenderaan awam.
7. Kencing manis - Ini penyakit yang sangat lazim di negara
kita. Untuk mencegah kencing manis, amalkan gaya hidup sihat dengan
menjaga pemakanan dan selalu bersenam, khususnya bagi mereka yang ada
sejarah keluarga menghidap penyakit ini.
Jika anda sudah menghidapnya, ambillah langkah proaktif supaya paras
gula anda berada dalam julat sihat kerana kencing manis yang tidak
terkawal akan merosakkan saraf khususnya pada kaki dan mata. Selain itu,
ia juga meningkatkan risiko mendapat sakit jantung dan mengalami
kerosakan buah pinggang.
No comments:
Post a Comment