Madu adalah bahan yang dikaitkan dengan kesihatan. Madu disebut dalam al-Quran sebagai satu makanan berkhasiat dan boleh dijadikan ubat.
Kajian sains membuktikan fakta ini. Madu digunakan sejak zaman purba sebagai ubat dan merawat pelbagai jenis penyakit. Walaupun rasanya manis seperti gula, kesan kedua-dua bahan ini amat bertentangan dari aspek kesihatan.
Sejarah gula di Malaysia bermula selepas era penjajahan British yang membawa produk ini ke negara ini.
Sebelum abad ke-18, manusia hanya menggunakan madu sebagai pemanis dalam makanan atau minuman. Tebu dimakan secara terus untuk kemanisannya.
Ahli sejarah percaya gula digunakan masyarakat di India 500 tahun sebelum masihi. Ia dihasilkan daripada tebu yang tumbuh secara semula jadi di negara itu. Ia dipanggil ‘khanda’ yang menjadi asal kepada perkataan ‘candy’ dalam bahasa Inggeris.
Era penjajahan membawa kepada penghasilan gula secara industri dan hamba yang dibawa dari Afrika digunakan untuk berkerja di ladang tebu di barat.
Kini, gula menjadi suatu barangan yang ‘wajib’ dalam setiap rumah di seluruh dunia. Pengambilan gula meningkat dengan ketara. Tahun lalu, penghasilan gula dunia adalah 168 juta tan setahun.
Gula pasir putih atau sukrosa adalah bentuk gula paling biasa, tetapi bukan satu-satunya jenis gula. Bentuk-bentuk lain termasuk gula perang, fruktosa, maltosa, gula melaka, glukosa dan sirap mapel. Semua jenis gula ini adalah karbohidrat yang menjadi sumber tenaga utama dalam makanan.
Menurut kajian saintifik, gula pasir dikaitkan dengan 60 jenis penyakit kronik seperti kencing manis, kegemukan, darah tinggi, masalah kolesterol, sakit jantung, strok, masalah buah pinggang dan osteoporosis.
Gula mempunyai indeks glisemik (GI) yang tinggi, oleh kerana penggunaan gula yang amat tinggi dalam masyarakat kita maka ia menjadi punca kepada pelbagai penyakit.
Makanan yang mempunyai GI yang tinggi adalah punca kepada masalah sindrom metabolik atau sindrom X. Fakta ini dicatatkan dalam buku , “8 Rahsia Menguruskan Badan Tanpa Berdiet”.
Anda boleh melayari blog: doknorm.co.nr untuk maklumat lanjut.
Di antara perkara yang tidak kita sedari adalah gula tersembunyi yang banyak di dalam makanan. Hampir semua makanan proses menggunakan gula. Kuih-muih, kek, biskut, coklat dan pastri amat kaya dengan gula.
Minuman bergas dan kordial juga mengandungi gula yang tinggi. Tahukah anda minuman ‘3 dalam 1’ sarat dengan gula. Satu cawan minuman kopi putih dan malt coklat mungkin mengandungi tiga hingga empat sudu teh gula.
Bayangkan, jika anda meminum hanya dua hingga tiga cawan minuman ini sehari. Anda pasti sudah melebihi had harian yang disyorkan oleh WHO. Ini belum lagi diambil kira beberapa jenis gula yang terkandung dalam makanan-makanan biasa anda.
Pakar pemakanan terkenal, Dr William Coda Martin melabelkan gula sebagai ‘racun putih’ pada tahun 1957. Menurutnya gula adalah punca kepada pelbagai penyakit kronik kerana gula adalah karbohidrat tulen tanpa vitamin dan zat mineral.
Oleh itu, gula akan ‘melahap’ vitamin dan garam mineral yang sangat berharga daripada tubuh manusia semasa proses metabolisme tubuh.
Kajian sains terbaru yang dilaporkan dalam jurnal perubatan ‘Neuroscience’, pada 2008 mendapati gula mempunyai sifat seperti bahan ‘ketagihan’ yang menyebabkan penggunanya amat susah meninggalkan pengambilan gula setiap hari.
Lebih banyak lagi kajian yang serupa dilaporkan dalam pelbagai jurnal perubatan yang boleh dirujuk pada laman PubMed di Internet.
Kajian juga menunjukkan secara perlahan-lahan kemanisan gula semakin kurang dirasakan oleh lidah yang bermaksud pengguna gula akan memerlukan lebih banyak gula secara beransur-ansur untuk mendapat kemanisan yang sama.
Terdapat juga pelbagai jenis gula sintetik yang mempunyai indeks glisemik (GI) yang sangat tinggi seperti Maltodekstrin yang banyak digunakan dalam makanan dan minuman proses yang ada dalam pasaran sekarang.
Pengambilan gula sintetik ini adalah berbahaya kepada kesihatan kita. Oleh kerana itu tidak hairanlah masalah diabetis atau kencing manis amat tinggi sekarang.
Menurut survey Kementerian Kesihatan yang dilaporkan NHMS I, pada tahun 1986 kadar pesakit diabetis adalah 6.9 peratus, dan jumlah itu meningkat dalam laporan NHMS III kepada 14.9 peratus pada tahun 2006.
Ia selari dengan peningkatan penggunaan gula di Malaysia dari 85gm sehari pada tahun 1985 kepada 105gm sehari pada 2002.
Kesimpulannya, peningkatan penggunaan gula di Malaysia adalah berkadar langsung dengan peningkatan jumlah pesakit diabetes atau kencing manis.
Seiring dengannya adalah peningkatan masalah obesiti dan penyakit kronik lain seperti sakit jantung, kolesterol dan darah tinggi. Gula yang berlebihan akan disimpan sebagai lemak di dalam tubuh.
Kadangkala kita terkeliru kerana menyangka lemak atau minyak menjadi punca kepada masalah kegemukan. Persoalan sama ada menaikkan harga gula akan menyebabkan pengurangan penggunaan gula masih boleh diperdebatkan, yang pastinya pendidikan bahaya gula lebih penting untuk mendidik masyarakat risiko kesihatan akibat pengambilan gula yang berlebihan.
Justeru, mengurangkan penggunaan gula adalah cara terbaik untuk mengurangkan risiko mendapat penyakit kronik. Beransur-ansur kurangkan penggunaan gula dalam pemakanan harian kita hingga ke paras yang disyorkan iaitu kurang daripada 10 sudu gula sehari.
Jika anda suka rasa manis, ambillah buah-buahan yang manis yang lebih sihat di samping kaya dengan vitamin dan garam mineral yang amat penting untuk fungsi tubuh manusia.
Didiklah ‘lidah’ anda untuk mengurangkan rasa suka kepada benda manis. Kurangkan pengambilan makanan ‘proses’ untuk mengurangkan pengambilan gula tersembunyi. Kurangkan gula demi untuk kesihatan yang baik.
Penulis asal ialah Pengamal Perubatan Am Pengkhususan Anti Penuaan & Perubatan Regeneratif
No comments:
Post a Comment