adakah adenovirus sejenis wabak baru yang mudah tersebar dan mungkin menyebabkan pandemik seperti influenza H1N1?
Jika benar, bagaimana untuk mencegahnya?
Menurut Dr. Ishammuddin, jangkitan adenovirus merupakan masalah biasa yang berlaku di mana-mana dan ia mudah tersebar.
"Terdapat sekurang-kurangnya 52 jenis adenovirus dengan rantaian yang berbeza. Ada yang berbahaya dan ada yang tidak,'' katanya. Biasanya adenovirus menyebabkan penyakit berkaitan respiratori seperti batuk dan selesema, namun bergantung kepada jenis yang menyerang. Ia juga boleh mengundang pelbagai penyakit serius seperti gastroenteritis (sakit perut dan cirit birit), pharyngitis (sakit tekak), konjuntivitis (mata), cystitis (jangkitan pundi kencing) dan penyakit kulit seperti ruam," kata beliau.
Menurutnya, simptom berkaitan dengan respiratori juga berbeza daripada demam selesema biasa hingga masalah pneumonia dan bronkitis.
"Bayi baru lahir, warga emas serta pesakit lemah sistem imun seperti HIV/AIDS lebih mudah dijangkiti komplikasi teruk akibat jangkitan adenovirus," katanya.
Menurut Dr. Ishamuddin, adenovirus mula dikesan sekitar tahun 1950-an ketika Perang Dunia Kedua di kalangan askar-askar Amerika yang mengalami Penyakit Respiratori Akut (ARD).
Bagaimana dikesan?
Disebabkan pesakit yang dijangkiti menunjukkan simptom demam selesema, batuk biasa dan sakit perut, kata Dr. Ishamuddin ia sebenarnya tidak boleh dikesan melalui petunjuk tertentu melainkan dengan menjalani ujian darah, air kencing dan najis.
"Kadangkala ada juga pesakit yang mengalami demam selesema berpanjangan diikuti dengan sakit perut, namun ia bukan disebabkan adenovirus," jelas beliau.
Dr. Ishamuddin juga tidak menolak kes di Pulapol melibatkan AD14 yang menyerang sistem respiratori mudah berjangkit terutama di kawasan kepadatan tinggi.
Disebabkan jangkitan AD14 bukanlah sesuatu yang biasa dan biasanya ia tidak serius kata beliau, keadaan tersebut bukanlah sesuatu yang perlu dirisaukan oleh semua.
Menurut beliau lagi, kanak-kanak yang mengalami pneumonia akibat adenovirus boleh mengundang masalah berkaitan paru-paru. Namun begitu ia jarang berlaku dan virus tersebut mempunyai kadar mortaliti 10 peratus.
Rawatan
Kata Dr. Ishamuddin, setakat ini belum ada antivirus yang dihasilkan bagi melawan jangkitan tersebut.
"Biasanya kita merawat simptom contohnya jika tanda-tanda menunjukkan masalah pneumonia maka rawatan yang sewajarnya diberikan bagi mengatasi masalah tersebut," katanya.
Menurut beliau, jangkitan adenovirus bukanlah sesuatu yang agak serius dan jika melibatkan kes berbahaya seperti AD14 sekali pun, ia jarang berlaku.
Disebabkan jangkitan tersebut melalui virus, maka antibiotik tidak berkesan. Kata beliau, jika pesakit menunjukkan jangkitan pada respiratori, maka doktor akan meningkatkan pengambilan cecair, memberi rawatan bronkolidator dan memberi bantuan oksigen bagi membantu pernafasan.
Begitu juga jika jangkitan di bahagian usus maka pesakit akan diberi ubat makan rehidrasi.
Menjelaskan lebih lanjut kata beliau, pencegahan sebenarnya lebih baik daripada merawat.
Pernah dulu vaksin melawan adenovirus jenis 4 dan 7 dihasilkan di Amerika Syarikat untuk diberi kepada tentera bagi mengatasi masalah ARD. Namun disebabkan beberapa faktor, ia diberhentikan pada 1999.
Jelas beliau, pencegahan dan amalan kebersihan yang baik diakui mampu menyekat penularan jangkitan virus tersebut.
No comments:
Post a Comment