Menurutnya, dianggarkan 73 juta wanita seluruh dunia mengalami episod kemurungan major setiap tahun.
"Ia lebih ketara di negara-negara maju di mana peningkatan kes bunuh diri banyak berlaku. Kini, penyakit ini mula menular ke negara membangun dan tidak ketinggalan Malaysia juga dilihat semakin ke arah itu," kata beliau ketika menyampaikan ucapan sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa di hospital tersebut baru-baru ini.
Katanya, sebanyak 13 peratus wanita yang mengalami proses kelahiran mengalami masalah mental termasuk kemurungan setiap tahun.
Pada peringkat yang lebih teruk, ia mengundang perbuatan bunuh diri yang kini dilaporkan menjadi antara tujuh punca kematian untuk wanita berusia 20 hingga 59 tahun di seluruh dunia.
Menurutnya lagi, dalam satu kajian yang pernah dijalankan oleh Universiti Arizona terhadap 166 pasangan berkahwin mendapati, wanita melalui episod stres yang tinggi berbanding lelaki.
Bercerita mengenai punca masalah yang semakin meningkat itu katanya, desakan hidup dan persekitaran sebenarnya menjadi penyebab utama.
Namun seandainya seseorang bijak melalui setiap stres yang dialami, mereka mampu menjalani hidup dengan lebih berkualiti.
Jelas Dr. Nor Hamidah, kesihatan mental sama pentingnya dengan kesihatan fizikal.
"Mengambil berat tentang kesihatan mental membantu kita untuk merasa lebih sihat secara fizikal. Begitu juga sebaliknya kerana kedua-dua perkara ini saling berkait," katanya.
Beliau turut menasihatkan mereka yang mengalami masalah supaya ambil masa untuk rehat dan berani untuk berbincang mengenainya bersama saudara atau teman terdekat.
"Anda sendiri mungkin sedar dengan perbezaan diri apabila mengalami masalah mental seperti kemurungan. Malah rakan-rakan terdekat juga pasti akan sedar mengenainya. Seandainya ada yang menasihati anda agar bertemu pakar untuk mendapatkan rawatan, jangan tunggu lagi," katanya.
Menurut beliau, kerja, keluarga dan kawan-kawan memberi kesan kepada kesihatan mental dari sudut kebaikan dan keburukan. Justeru katanya, setiap individu perlu pandai mengimbangi kerjaya dan kehidupan mereka agar sihat mental dan fizikal.
Nikmati kehidupan sewajarnya
Kata Dr. Nor Hamidah, kesihatan mental yang baik membantu kita menikmati hidup dan menangani masalah dengan sewajarnya.
"Ia menawarkan rasa nikmat kehidupan dan memberi kita kekuatan dari dalam. Seperti kita menjaga badan melalui pemakanan yang betul dan melakukan senaman, kita boleh lakukan sesuatu untuk menjaga kesihatan mental," katanya.
Mampu untuk bercakap mengenai masalah yang dialami dan membuat keputusan secara berhemah mengenai kesihatan mental sendiri adalah langkah pertama terbaik buat mereka yang mengalami masalah tersebut.
Kemampuan untuk bangkit kembali daripada masalah atau kesukaran dan menangani dengan bijak adalah peranan terbaik dalam menjaga kesihatan mental yang baik, kata beliau.
Menurutnya, membuang segala perkara negatif juga membantu bagi mengelak diri dibelenggu masalah. Setiap individu juga katanya perlu mengubah perspektif diri ke arah menjalani hidup yang lebih sihat mental dan fizikal.
"Kita tidak boleh mengelak perkara yang tidak diingini daripada berlaku, tetapi kita boleh belajar bagaimana untuk melaluinya," ujarnya.
Pelajari bagaimana untuk menangani stres dengan segera merupakan langkah yang bijak, apatah lagi andai ia melibatkan masalah kerja. -utusan
No comments:
Post a Comment