PUTRAJAYA 14 Mac – Kerajaan memutuskan untuk mengharamkan penjualan botol susu bayi polikarbonat yang mengandungi “Bisphenol A” (BPA), berkuat kuasa 1 Mac 2012.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, perkara itu diputuskan oleh Jemaah Menteri pada 2 Mac lepas sebagai langkah berjaga-jaga kerana sehingga kini tiada bukti saintifik yang kukuh menunjukkan botol susu tersebut adalah selamat untuk digunakan oleh golongan berisiko tinggi terutamanya bayi dan kanak-kanak.
"Kementerian tidak akan berkompromi dalam keselamatan pengguna terutamanya bayi dan kanak-kanak.
,” katanya.
Kerajaan memberi tempoh satu tahun untuk memastikan tindakan pengharaman itu dilaksanakan dengan lancar secara berperingkat, katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pasca kabinet kementeriannya di sini hari ini.
"Pihak industri diberi tempoh masa satu tahun untuk membuat persediaan bagi keperluan pertukaran atau pembelian mesin dan penggunaan bahan mentah yang sesuai”.
Tindakan pengharaman itu diambil dengan mengambil kira BPA didapati boleh menyebabkan gangguan kepada sistem hormon sekaligus mengganggu sistem fungsi tubuh, katanya dan menurutnya bagaimanapun sehingga kini tiada sebarang penilaian dijalankan berhubung sistem hormon dalam tubuh bayi serta tiada jaminan keselamatan untuk itu.
Tiong Lai berkata, pengharaman itu juga adalah selaras dengan tindakan beberapa negara yang telahpun mengharamkan penjualan susu botol tersebut antaranya Jerman, Perancis, Denmark, Kanada, Australia, New Zealand, Amerika Syarikat dan terbaru oleh Kesatuan Eropah
Oleh NAZMIL NASIRUDDIN
pengarang@utusan.com.my
PUTRAJAYA 14 Mac – Penjualan botol susu jenis polikarbonat yang mengandungi Bisphenol A (BPA) diharamkan berada di pasaran.
Pada masa sama, beliau berkata, pemantauan berterusan yang dijalankan pihak kementerian mendapati berlakunya migrasi BPA dari botol-botol susu bayi polikarbonat yang telah diuji.
“Sehingga tahun lepas, sebanyak 159 sampel botol susu bayi telah dianalisis dan didapati 85 peratus daripadanya dikesan mengandungi bahan BPA dalam julat 0 hingga 0.7 mg/kg hasil kesan migrasi dari botol berkenaan.
“Kajian Universiti Malaya (UM) pula menunjukkan kadar migrasi yang berlaku meningkat sebanyak tujuh kali ganda pada suhu 80 darjah Celsius berbanding suhu bilik 25 darjah Celsius,” katanya.
“Terkini, pihak Kesatuan Eropah juga telah membuat pengumuman mengharamkan penjualan botol susu bayi polikarbonat yang mengandungi BPA,” katanya.
Menurutnya, langkah pengharaman itu dapat melindungi keselamatan kumpulan berisiko tinggi berkenaan sehinggalah terdapat maklumat keselamatan terbaru mengenai penggunaan BPA diperolehi.
Beliau menasihatkan dalam tempoh setahun ini, pengguna perlu mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengurangkan risiko pendedahan kepada migrasi BPA berdasarkan panduan penggunaan botol susu bayi jenis polikarbonat.
Namun begitu, katanya, pengguna boleh membuat pilihan awal dengan menukar botol susu bayi jenis polikarbonat kepada alternatif yang terdapat di pasaran mengikut kemampuan masing-masing.
Beliau menambah, pihaknya juga akan menjalankan kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK); Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah; Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dalam hal berkenaan.
Orang ramai yang inginkan maklumat lanjut boleh menghubungi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan di talian 0388833652/88833653 /88833655 atau layari laman web http://moh.gov.my atau http://fsq.moh.gov.my.
Haramkan segera penjualan botol BPA
PULAU PINANG 15 Mac - Kerajaan diminta menguatkuasakan serta-merta pengharaman penjualan botol susu polikarbonat yang mengandungi Bisphenol A (BPA).
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), S.M. Mohamed Idris berkata, Kementerian Kesihatan tidak seharusnya memberi tempoh setahun lagi untuk melaksanakan pengharaman tersebut kerana penggunaannya boleh menyebabkan gangguan terhadap sistem hormon termasuk fungsi tubuh bayi dan kanak-kanak.
Tegas beliau, penangguhan tersebut hanya menyebabkan lebih ramai bayi dan kanak-kanak terdedah dengan persekitaran yang tidak sihat.
"Bayi khususnya amat berisiko kerana jumlah toksin yang dihadam adalah besar berbanding berat badannya. Begitu juga organ-organ bayi yang sedang membesar akan lebih teruk terjejas berbanding orang dewasa sekiranya masih menggunakan bahan kimia industri ini.
''Oleh itu, kami menggesa pihak kementerian supaya menguatkuasakan serta-merta tindakan pengharaman pengimportan dan penjualan botol susu tersebut," katanya pada sidang akhbar di pejabat CAP di sini hari ini.
Akhbar hari ini melaporkan kerajaan memutuskan untuk mengharamkan penggunaan penjualan botol susu BPA mulai 1 Mac 2012.
Tindakan tersebut diambil sebagai langkah berjaga-jaga kerana sehingga kini masih tiada bukti saintifik menunjukkan botol susu tersebut selamat digunakan oleh golongan berisiko tinggi terutama bayi dan kanak-kanak.
Mengulas lanjut, menurut S.M. Mohamed, China merupakan negara pertama di Asia yang secara rasmi mengharamkan botol susu bayi yang mengandungi BPA pada 4 Mac lalu.
Beliau berkata, Kementerian Kesihatan China telah merangka satu peraturan yang disiarkan di dalam laman web rasmi mereka untuk mendapatkan pandangan umum tetapi tidak menjelaskan bila peraturan itu akan dikuatkuasakan.
Selain itu katanya, dua negara anggota Kesatuan Eropah (EU), Perancis dan Denmark telah mengenakan tindakan tersebut ke atas pengeluaran botol susu terbabit dan telah melanjutkan larangan terhadap semua produk makanan untuk kanak-kanak berusia tiga tahun ke bawah.
Justeru, kata S.M. Mohamed, CAP menyeru pihak berkuasa supaya mengharamkan pemasarannya termasuk melabelkan BPA sebagai bahan berbahaya.
Sementara itu, di
KUALA LUMPUR, kerajaan digesa supaya menyegerakan pengharaman penjualan botol susu jenis polikarbonat yang mengandungi Bisphenol A (BPA) kerana bimbang penggunaannya yang membahayakan kesihatan akibat sikap tidak peka pengguna.
Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Datuk Mohd. Yusof Ismail berkata, sepatutnya usaha mengeluarkan produk tersebut dari pasaran perlu disegerakan tanpa perlu melakukan penangguhan.
"Tidak sepatutnya alasan untuk membuat persediaan menukar, membeli mesin dan memilih bahan mentah yang sesuai digunakan bagi melanjutkan tempoh penguatkuasaan menghalang penjualan produk itu setahun lagi.
"Seharusnya, pelbagai inisiatif lain perlu dirancang bagi mengatasi masalah tersebut sebelum pengumuman pengharaman penjualan botol susu jenis polikarbonat dilakukan," katanya kepada
Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.
Yusoff menambah, kerajaan seharusnya bertanggungjawab menghalang kebanjiran produk yang membahayakan pengguna dengan segera.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, sejak tiga tahun lalu pelbagai usaha telah dilakukan untuk mengharamkan produk tersebut memasuki pasaran, namun ia menemui jalan buntu.
Kata beliau, pengharaman botol susu jenis itu tidak dapat dipastikan sama ada ia akan menghalang lambakan produk tersebut di pasaran.
"Sehubungan itu, rundingan antara kerajaan, syarikat pengeluar botol susu jenis polikarbonat dan persatuan pengguna perlu diadakan bagi menangani kemasukan produk itu pasaran secara haram.
"Lebih membimbangkan, produk alternatif bagi menggantikan jenis BPA akan dipalsukan bagi tujuan menipu pengguna," katanya.
Justeru itu, kata Jacob, rundingan tersebut diharapkan dapat menangani pelbagai isu lain yang bakal timbul berikutan pengharaman botol susu jenis polikarbonat yang mengandungi BPA di pasaran dalam tempoh setahun ini.
Tidak perlu haram serta-merta botol susu polikarbonat
KUALA LUMPUR 16 Mac - Kerajaan tidak mahu mengambil langkah drastik mengharamkan botol susu polikarbonat yang mengandungi bisfenol A (BPA) kerana mengambil kira tempoh masa yang diperlukan pihak industri bagi menarik semula barangan itu daripada pasaran di seluruh negara.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga tidak menggalakkan botol susu polikarbonat itu diharamkan serta-merta kerana ia bukan barangan mengandungi racun sebaliknya ia mempunyai migrasi yang boleh dicegah namun berbahaya.
Selain itu, kata beliau, kerajaan juga melihat daripada aspek mengelakkan kerugian besar terhadap pihak industri yang terlibat.
"Kita boleh mengharamkan sesuatu barangan itu serta-merta jika ia melibatkan racun tetapi dalam kes ini ia masih boleh digunakan tetapi mestilah dengan langkah yang ditetapkan oleh kerajaan.
"Bagaimanapun kerajaan tetap membuat keputusan untuk mengharamkan penggunaan botol susu itu ekoran bimbang pengguna tidak boleh menggunakan barangan tersebut dengan kaedah yang betul,'' katanya ketika dihubungi
Utusan Malaysia di sini hari ini.
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) semalam meminta kerajaan menguatkuasakan serta-merta pengharaman penjualan botol susu polikarbonat tanpa memberi tempoh setahun lagi untuk melaksanakannya kerana penggunaannya boleh menyebabkan gangguan terhadap sistem hormon termasuk fungsi tubuh bayi dan kanak-kanak.
Tiong Lai berkata, tempoh setahun yang diberikan oleh kerajaan kepada pihak industri botol tersebut telah dilaksanakan di seluruh dunia termasuk Kesatuan Eropah (EU).
Beliau berkata, kerajaan juga telah mengambil kira pandangan daripada pelbagai pihak di dalam negara sebelum memutuskan untuk mengharamkan penggunaan botol susu itu termasuk gabungan persatuan pengguna tempatan.
"Bayangkan jika kita membuat keputusan drastik ia bukan sahaja menyebabkan kerugian kepada syarikat pengeluar barangan malah ia boleh menjejaskan ekonomi negara.
"Sehubungan itu, kerajaan perlu memberi tempoh antara enam bulan hingga setahun untuk melaksanakan pengharaman tersebut,'' jelas beliau.
Kesal botol polikarbonat masih dijual
KUALA LUMPUR 16 Mac - Orang ramai di ibu negara kesal dengan sikap sesetengah pasar raya yang masih menjual botol susu bayi jenis polikarbonat dan mengandungi Bisphenol A (BPA).
Mereka juga mempersoalkan tentang tarikh pengharaman botol susu itu kerana ia sepatutnya berkuat kuasa serta-merta dan tidak perlu menunggu sehingga 1 Mac tahun depan.
Seorang peniaga,
Ahmad Abdul Aziz, 33, berkata, tindakan pihak yang masih menjual botol itu adalah seperti tidak endah dengan keselamatan bayi dan kanak-kanak.
"Jangan fikirkan tentang keuntungan sahaja. Bila sudah diumum tidak selamat, janganlah jual lagi," katanya.
Beliau mengulas mengenai pengharaman botol susu jenis polikarbonat yang mengandungi BPA yang boleh menyebabkan gangguan terhadap sistem hormon dan fungsi tubuh kanak-kanak.
Seorang guru,
Suhaimi Sapiee, 32, berkata, terdapat dua perkara yang membuatkan dia tidak berpuas hati dalam perkara itu.
Pertama, katanya, kerajaan seharusnya menghentikan serta-merta penjualan botol susu itu dan kedua, kerajaan perlu memberi penjelasan mengapa barangan itu hanya diharamkan pada tahun depan.
Sementara itu, seorang kakitangan kerajaan,
Khairunnisa Azmar,23, berkata, para peniaga perlu ada tanggungjawab sosial dalam hal berkenaan.
"Peniaga perlu mementingkan aspek keselamatan pengguna terlebih dahulu berbanding mengejar keuntungan.
"Jika sejenis botol susu diharamkan, peniaga tidak perlu risau kerana kita mempunyai pelbagai botol susu lain yang jauh lebih selamat," katanya.
Botol Susu Bayi Polikarbonat tidak selamat untuk digunakan kerana mengandungi
Bisphenol A (BPA).
Apa itu BPA? Kenapa BPA itu boleh membahayakan bayi? Bagaimana mahu mengecam botol susu polikarbonat itu? Apa yang perlu dilakukan pada botol susu bayi yang mengandungi BPA?
Apa itu Bisphenol A (BPA)?
Bisphenol A adalah bahan kimia iaitu dalam rumusan kimia dikenali sebagai C15H16O2. Dalam strukur molekulnya, ikatan kimia
BPA pada polimer plastik mempunyai sifat tidak stabil, yang bergantung kepada masa dan penggunaannya.
BPA mudah lepas dari struktur
polimer plastik polikarbonat. Dengan kata lain, sifat
BPA ini adalah mudah larut dan meresap ke dalam makanan atau minuman.
Kenapa Bisphenol A (BPA) itu boleh membahayakan bayi?
Mengambil kira sifat
BPA ini adalah mudah larut dan meresap ke dalam makanan atau minuman, jika diberikan kepada bayi,
BPA akan memasuki badan badan bayi.
BPA yang rendah sekalipun sekiranya masuk ke dalam tubuh kita boleh mengakibatkan mengganggu hormon estrogen. Estrogen adalah hormon yang mengawal perkembangan otak, boleh menyebabkan gangguan kepada sistem hormon dan sekali gus mendatangkan kesan lain pada tubuh badan.
Banyak kajian mengaitkan
BPA dengan pelbagai masalah lain seperti baligh awal, kanser payudara, kanser prostat, penyakit jantung, obesiti dan kencing manis. Malah, ia juga dikatakan boleh menyongsangkan ciri-ciri jantina seseorang dan merosakkan kromosom.
Bagaimana mahu mengecam botol susu polikarbonat itu?
Caranya mudah saja, di bahagian bawah botol susu bayi itu ada tercatat pengkelasan jenis plastik yang digunakan. Kalau ianya ada
logo segi tiga dan di dalamnya adalah nombor 7, maknanya plastik botol susu itu menggunakan bahan lain-lain yang umumnya menggunakan formula pembentukan plastik yang mengandungi
Polikarbonat.
Kalau botol susu itu ada label BPA FREE, maka ianya selamat dari bahan kimia polikarbonat.
Dalam kes botol susu anak buah
orang tawau ni, agak keliru sedikit kerana label di belakangnya juga ada simbol gelas dan garfu. Bila ditanya uncle google, ditemui maksud simbol gelas dan garfu itu ialah food grade. Maksudnya botol susu bayi itu telah dijamin selamat dan disahkan berkualiti.
Aduh apa kes ni? Dah gunakan simbol nombor 7 tapi ada pula selitkan logo gelas dan garpu?
Negara-negara yang telah mengambil langkah awal mengharamkan penjualan botol susu bayi polikarbonat yang mengandungi BPA adalah Jerman, Perancis, Denmark, Kanada, Australia, New Zealand dan negeri New York di Amerika Syarikat. Perkembangan terkini adalah pengumuman pengharaman botol susu bayi polikarbonat yang mengandungi BPA oleh pihak Kesatuan Eropah.
MALAYSIA!! Bila Nak Laksanakan Pengharaman, Ya??
No comments:
Post a Comment